Jumaat, November 09, 2012

PRESIDEN HU JINTAO SERU CHINA JADI KUASA MARITIM BARU DUNIA

Presiden Hu Jintao Seru China Jadi Kuasa Maritim Baru Dunia

BEIJING 8/11/2012: Presiden Hu Jintao menegaskan, Republik Rakyat China harus menjadi kuasa maritim dunia yang baru.

Berucap di hadapan 2,200 perwakilan pada Kongres Parti Komunis China di sini, pada Khamis, Hu berkata, China perlu meningkatkan keupayaannya dalam eksplorasi sumber marin.

Juga katanya, China harus berupaya mempertahankan hak dan kepentingan maritim mereka.

Ini, katanya, hanya boleh dicapai sekiranya China menjadi kuasa baru maritim dunia.

Ucapan Hu itu dengan segera dilihat sebagai merujuk kepada pertikaian maritim yang berlaku antara China dan Jepun ke atas gugusan pulau yang dikatakan memiliki kepentingan ekonomi dan sumber asli yang tinggi juga tentang perebutan ke atas gugusan Kepulauan Spratly di Laut China Selatan.

Pada masa yang sama, Hu juga berkata, China harus membina pertahanan nasional yang kukuh dengan angkatan tentera yang kuat dan berkuasa.

Dalam konteks ini katanya, misi utama pertahanan China ialah bagaimanakah mereka mampu memenangi peperangan dalam era dunia informasi hari ini.

Kongres Parti Komunis China bersidang setiap lima tahun sekali dan mempunyai tradisi menukar pucuk pimpinannya setiap 10 tahun.

Hu dijadualkan untuk melepaskan jawatan setiausaha agung parti kepada naibnya, Xi Jinping.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan