Jumaat, November 09, 2012

IBU BAPA PERLU PANTAU PERIHAL ANAK SEMASA CUTI SEKOLAH: ADZHAR

Ibu bapa perlu pantau perihal anak semasa cuti sekolah: Adzhar

LABUAN 8/11/2012: Ibu bapa perlu lebih peka mengawasi gerak-geri serta perihal anak remaja mereka khususnya semasa musim cuti persekolahan agar mereka tidak terjerumus dengan gejala sosial.

Ketua Polis Wilayah Persekutuan Labuan, Superitendan Adzhar Othman, berkata ibu bapa memainkan peranan untuk mengawasi setiap pergerakan anak-anak remaja mereka bukan saja semasa berada di dalam rumah tetapi juga semasa berada di luar rumah.

Beliau berkata, ibu bapa tidak seharusnya menyerahkan tugas mendidik mahupun mendisiplin anak kepada pihak sekolah semata-mata atau menyerahkan kepada polis sekiranya berlaku kes-kes yang membabitkan jenayah sosial.

“Sebagai ibu bapa kita wajar pantau pergerakan anak-anak, tanya ke mana mereka mahu pergi, dengan siapa mereka berkawan dan apa aktiviti yang mereka lakukan dan periksa beg sekolah mereka selepas balik dari sekolah,” katanya ketika merasmikan ProgramPDRM bersama Pelajar SMK Pantai di Kompleks Sukan Labuan, pagi kelmarin.

Hadir sama, Pengetua SMK Pantai, Sahar Misron; Timbalan Ketua Polis, DSP Douglas Nyeging Taong; Ketua Bahagian Ketenteraman Awan dan Trafik, IPD Labuan, ASP Sammy Newton dan beberapa pegawai kanan polis IPD Labuan.

Beliau berkata, program itu adalah sebahagian daripada programPDRM Labuan turun padang untuk mendekati masyarakat akar umbi termasuk pelajar.

Katanya, selepas ini pihaknya akan menemui pelajar SMK Labuan dan Kolej Vokasional dan golongan belia yang akan diadakan dalam waktu terdekat.

“Kita akan bawa beberapa pegawai kanan untuk bertemu dengan pelajar yang kita bagikan dalam beberapa kolompok kecil untuk memberikan penerangan dan penjelasan mengenai peranan polis dan juga masalah-masalah gejala sosial yang boleh membawa keruntuhan akhlak kepada remaja,” katanya.

Sementara itu, beliau juga akan menghidupkan semula Kelab Pencegahan Jenayah yang sudah kurang aktif yang diwujudkan di setiap sekolah menengah di pulau ini.

“Kita akan hidupkan dan memperkasakan semula Kelab Pencegahan Jenayah di semua sekolah menengah, di bawah kepimpinan saya… saya akan aktifkan semula supaya ia dapat memberi impak kepada pelajar,” katanya.

Adzhar berkata antara objektif Kelab Pencegahan Jenayah yang ditubuhkan di setiapsekolah menengah adalah bertujuan untuk mendidik dan memupuk pelajar supaya sentiasa mematuhi akan undang-undang negara ini.

Selain itu, melahirkan rasa tanggung jawab di kalangan pelajar dalam menangani gejala sosial termasuk masalah gengsterism dan buli sekiranya berlaku di sekolah.

Pada majlis itu, beberapa sesi demontrasi Mat Rempit, kes ragut dan jenayah-jenayah lain turut diadakan untuk memupuk kesedaran kepada pelajar supaya mereka tidak terjebak dalam kancah jenayah yang boleh membawa padah yang buruk bukan saja kepada mereka tetapi juga kepada keluarga pelajar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan