Selasa, Oktober 30, 2012

MAMPUKAH KEMATANGAN BERPOLITIK DICAPAI DI NEGARA KITA?

Mampukah kematangan berpolitik dicapai di negara kita?

28/10/2012 — Kematangan berpolitik merupakan sesuatu yang diperlukan dalam arena politik negara.

Apa tidaknya, arena politik negara masih dipenuhi dengan pelbagai perwatakan pemimpin politik yang beraneka ragam.

Saban hari, ada sahaja kenyataan mahupun tindak-tanduk mereka yang mencuri tumpuan. Sama ada tindakan itu dilakukan secara tidak sengaja atau sebaliknya, mereka lebih mengetahui.

Hakikatnya, memang ada pemimpin politik yang boleh berfikir dan menonjolkan diri sebagai politikus yang berkaliber lagi dihormati. Akan tetapi, ada juga yang memperbodohkan diri sendiri dengan mengeluarkan kenyataan yang tidak logik.

Jika dibilang dengan jari, boleh dikatakan ramai yang tergolong dalam kategori kedua.  Tetapi adalah tidak adil untuk melabelkan semua politikus adalah tidak baik kerana sebarang usaha sedemikian hanya bermakna penulis bersifat prejudis.

Namun realiti sebenar tidak dapat disangkal lagi. Pengalaman penulis membuat liputan di beberapa Perhimpunan Agung parti-parti politik seperti UMNO, Pas dan MCA membuktikan apa yang diperkatakan sebentar tadi mengenai pemimpin politik ada asasnya.

Boleh dikatakan bahawa perhimpunan agung tahunan parti merupakan medan terbaik untuk membelasah pihak musuh. Dalam konteks ini, semua perbahasan mahupun ucapan dasar pemimpin akan berkisar kepada memburuk-burukkan musuh.

Segala kehodohan dan kejahatan pihak musuh akan ditelanjangkan secara terbuka seolah-olah musuh mereka sudah tidak mempunyai nilai dan harga diri.  Retorik menguasai segala-galanya!

Tidak kira sama ada amalan sedemikian dipraktikkan oleh pembangkang ataupun parti pemerintah, jelas budaya ini tidak sepatutnya mendapat tempat dalam masyarakat. Agak menghairankan, pemimpin-pemimpin politik di Amerika dan Eropah boleh  mengenepikan sentimen kepartian dalam isu-isu membabitkan kepentingan nasional. Tetapi tidak di Malaysia. Mengapa?

Apakah ego begitu penting untuk mereka? Apakah dengan tiadanya sentimen kepartian akan membuatkan mereka kurang baik atau bersikap seperti pembangkang?

Apakah yang cuba disampaikan oleh pemimpin politik kepada rakyat? Adakah budaya hasutan dan kebencian yang ingin disemai dalam minda rakyat? Tidak sedarkah mereka bahawa segala tindak-tanduknya sedang diperhatikan oleh rakyat?

Barangkali segelintir pemimpin politik kita alpa bahawa melalui kuasa dan undi rakyatlah, mereka dapat berada di puncak kekuasaan. Rakyat adalah kingmaker kerana dengan satu undi sekalipun, ia cukup signifikan.

Sudah sampai masanya pemimpin politik di Malaysia merenung sejenak tingkah laku dan perwatakan mereka.  Bermuhasabah diri dan bertanyakan kepada diri apakah kekurangan dan penambahbaikan yang harus diperbaiki selepas ini.

Dengan bahang Pilihan Raya Umum ke-13 makin hampir, inilah masanya untuk pemimpin politik menguatkan azam untuk berkempen secara matang. Gunakan kempen pilihan raya untuk menjelaskan dasar-dasar kepada rakyat dan bagaimana rakyat boleh mengambil bahagian dalam menjayakan agenda pembangunan negara.

Juga, manfaatkan kempen sedia ada itu untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat. Inilah yang didahagakan oleh rakyat jelata. Rakyat jelata sudah bosan dengan politik kepartian yang keterlaluan.

Bersediakah pemimpin-pemimpin politik negara kita untuk berubah? Ataupun terus menjadi bahan gurauan masyarakat antarabangsa? Pilihan terletak di tangan mereka.

---------------

Perkasa teruskan boikot lagu Kristian dalam bahasa Melayu

Perkasa bebas untuk boikot penyanyi Jaclyn Victor, kata menteri

Tiada ulasan:

Catat Ulasan