Selasa, September 25, 2012

MILIKI SYABU 50.6 GRAM, WARGA ASING BERDEPAN HUKUMAN GANTUNG

Miliki syabu 50.6 gram, warga asing berdepan hukuman gantung

CHANDRA (tengah) menunjukkan bungkusan plastik berisi dadah syabu yang berjaya dirampas daripada suspek.

KOTA KINABALU September 25, 2012: Seorang remaja lelaki warga asing bakal berdepan hukuman gantung sampai mati setelah dicekup polis kerana memiliki dadah jenis syabu seberat 50.6 gram di Kampung Sinulihan, Inanam di sini.

Suspek, berusia 18 tahun itu dikatakan ‘baru’ memulakan perniagaan mengedar dadah terbabit dan ketika dicekup, remaja itu dipercayai sedang menunggu seorang pelanggan di sebuah rumah tidak bernombor di lokasi berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, Superitendan M Chandra berkata dalam kejadian 21 September lepas kira-kira jam 2.50 petang itu, suspek dilaporkan berada di tempat kejadian menggunakan sebuah Proton Inspira dan dipercayai mahu bertemu seorang pelanggan.

“Hasil intipan polis, sepasukan anggota narkotik telah berjaya mengesan kegiatan suspek dan pada 21 September lalu, kita berjaya menjejaki suspek yang berada di dalam sebuah kenderaan jenis Proton Inspira di sebuah lokasi di Kampung Sinulihan.

“Kita mendapati suspek dipercayai sedang menunggu pelanggannya di lokasi terbabit dan ketika diserbu, suspek telah bertindak melarikan diri. Berlaku sedikit pergelutan dan suspek terbabit akhirnya berjaya ditahan.

“Hasil pemeriksaan polis mendapati terdapat sebungkus plastik berisi hablur putih disyaki dadah jenis syabu di dalam poket seluar jeans milik suspek,” katanya sambil menambah, suspek difahamkan aktif mengedar dadah di sekitar kawasan Inanam.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di sini kelmarin.

Menurut Chandra, pihaknya percaya harga pasaran bagi dadah syabu tersebut mampu mencecah RM15,180 dan menampung keperluan kira-kira 2,600 penagih di sini.

“Suspek itu kini direman selama tujuh hari bermula 21 Sept lalu dan akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan,” katanya.

by RUZAINI ZULKIFLI

--------------------

Foreign teen held in 50-gram syabu probe

Six held in assault probe

No transfers for prisoners deemed security threats

Groom slashed to death after wedding reception

Ketua Pemuda Umno Kepong dipercayai diserang warga asing

Tiada ulasan:

Catat Ulasan