Rabu, Julai 11, 2012

BELIA, SISWAZAH MENGANGGUR JANGAN PILIH KERJA

Belia, siswazah menganggur jangan pilih kerja

Ewon (kanan) menerima cenderahati daripada Maryo.

RANAU July 9, 2012: Belia dan siswazah yang masih menganggur dinasihatkan supaya tidak merasa malu untuk menerima apa sahaja pekerjaan yang ditawarkan walaupun tidak setaraf dengan kelulusan akademik yang diperolehi.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Ewon Ebin berkata sifat sesetengah masyarakat yang terlalu memilih kerja menyebabkan pertambahan pengangguran di negara ini meningkat dari masa ke semasa.

“Selain itu, keinginan dan harapan seseorang untuk mendapatkan pekerjaan dengan kerajaan atau swasta juga memberi impak kepada kadar pertambahan pengangguran.

“Negara kita sebenarnya mempunyai banyak peluang pekerjaan yang hanya menunggu kita untuk mentransformasikannya menjadi sesuatu kerjaya yang boleh menjana pendapatan,” katanya.

Bagaimanapun, tambahnya, ia bergantung kepada usaha gigih dan kreativiti sendiri untuk mengubah segala sesuatu itu menjadi berharga atau menjadi wang.

Sehubungan itu, Ewon menasihatkan para belia yang menganggur supaya mengambil apa sahaja peluang pekerjaan yang ada buat sementara dan pada masa yang sama menjadikan kerja itu sebagai satu landasan untuk belajar dan memperbaikinya.

Beliau turut mengajak belia supaya mengikis sifat malas dan memilih kerja yang didorong oleh perasaan ego bahawa dirinya berpendidikan tinggi kerana sifat itu hanya akan membuang masa malah merugikan diri sendiri.

Katanya, tidak salah untuk mengejar yang terbaik, namun apabila keadaan tidak mengizinkan dan akibat persaingan yang begitu kompetatif, belia perlu mencari alternatif lain yang boleh membantu memajukan kehidupan sendiri.

Ewon berkata demikian semasa berucap merasmikan majlis penutupan Seminar Kerjaya Bersama Belia anjuran Sabah Job Centre, Kementerian Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat (KPSKTM) di Rumah Rehat Lohan di sini.

Menurut Timbalan Setiausaha Tetap KPSKTM, Maryo Ngasio, seminar dua hari itu telah dihadiri seramai 115 belia lepasan SPM, STPM, para graduan dan pencari kerja/penganggur sekitar daerah Ranau.

Katanya, objektif utama seminar itu adalah untuk membantu belia mengenali jati diri bagi mengadaptasi persekitaran kerja ke dalam diri individu/mereka.

Selain itu, ia juga membantu memantapkan kebolehan, kemahiran dan keyakinan diri para belia bagi merealisasikan potensi mereka di samping mendedahkan pengetahuan berhubung kerjaya dan bagaimana menangani isu-isu belia masa kini, tambahnya.

Pada ceramah itu, pihak KPSKTM telah menjemput dua orang penceramah bertauliah iaitu Prof Dr Balan Rathakrishnan (kaunseling kerjaya) dari UMS dan penceramah motivasi George Clinton seorang usahawan berjaya dan pengurus sebuah syarikat swasta.

Turut serta di majlis itu ialah Penolong Pegawai Daerah Ranau, Bernard Kimin, Setiausaha Politik dan Sulit Kementerian, Japirin Sahadi dan Dallius Ubin, serta pegawai-pegawai kerajaan daerah Ranau.

11 ulasan:

  1. Terima sajalah apa pekerjaan yang ada sementara mencari kerja yang betul-betul disukai. Daripada menganggur di rumah saja, sekurang-kurangnya boleh mendapat pengalaman kerja dan pendapatan yang tetap.

    BalasPadam
  2. Jika ada pengalaman pekerjaan, lain kali mahu memohon pekerjaan lain pun lebih senang. Belum cuba, belum tahu.

    BalasPadam
  3. jgnlah memilih kerja.. carilah apa2 kerja sementara mencari kerja yang lebih baik.

    BalasPadam
  4. Pilih juga tapi jangan terlalu memilih. harus diingat bahawa di Sabah ni memang gaji xsemahal di SM tapi kalau dilihat dan dikira dari segi kos hidup,sama saja tu.

    BalasPadam
  5. Ambil saja peluang yang ada untuk timba pengalaman.

    BalasPadam
  6. Betul..Kerana terlalu memilih kerja menyebabkan ramai yang menganggur sebenarnya.

    BalasPadam
  7. Pelbagai peluang yang ada sebenarnya. Tapi akibat terlalu memilih maka peluang itu tidak diambil kesempatan. Apa salahnya kerja dulu sambil menanti pekerjaan yang baru.

    BalasPadam
  8. sebelum memilih kerja, baik fikir dulu bagaimana seseorang majikan berfikir.. adakah majikan sewenang2nya akan mengambil pekerja yang tidak mempunyai pengalaman malah meminta gaji yang tinggi untuk bekerja di syarikat mereka??

    BalasPadam
  9. sebaik menghabiskan pengajian, baik terima saja apa2 kerja yang bergaji kecil atau sederhana.. dalam tempoh itu, cari la kerja lain yang boleh memberikan gaji yang lebih tinggi dari sebelumnya..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Pandai2 la bawa diri ke pasaran pekerjaan.

      Padam
  10. Belia disarankan jangan memilih kerja, selain skills. Pengalaman kerja tu perlu.

    BalasPadam