NILAI 29 Mei 2012: Samseng warga Pakistan kini dipercayai menguasai kawasan Pusat Jualan Borong Nilai 3, di sini, dengan menjalankan kegiatan meminta ‘duit kopi’ daripada peniaga sebagai wang perlindungan.
Sumber mendakwa kumpulan samseng terbabit dikatakan memeras ugut peniaga berkenaan sejak beberapa tahun lalu sehingga menimbulkan kebimbangan di kalangan peniaga tempatan.
Difahamkan, kumpulan samseng itu meminta wang perlindungan RM100 sebulan dan sekiranya tidak mengikut arahan, samseng terbabit mengugut menimbulkan kekacauan di premis individu itu. “Kebanyakan peniaga tempatan di sini takut berikutan tidak tahan kerana terpaksa membayar wang perlindungan setiap bulan. “Ini berikutan, warga Pakistan menjalankan perniagaan di situ terlalu ramai hingga mereka membentuk komuniti tersendiri seolah-olah adalah tempat mereka sehingga berani menubuhkan kumpulan gengster,” katanya kepada Harian Metro, di sini, semalam. Pengarah Imigresen Negeri Sembilan, Faizal Fazri Othman mengakui pihaknya menerima maklumat mengenai kebanjiran peniaga warga asing di kawasan itu termasuk ada kumpulan meminta wang perlindungan.
“Bagaimanapun, kegiatan itu di luar bidang kuasa jabatan ini, namun kami menjalankan pemantauan dan operasi dari semasa ke semasa,” katanya selepas melancarkan Ops 6P di pusat beli-belah itu jam 9.30 pagi semalam.
Dalam operasi dibantu 196 pegawai dan anggota dengan kerjasama Jabatan Imigresen Melaka, Wilayah Persekutuan, Putrajaya dan Selangor, 106 warga asing berusia antara 18 dan 40-an ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/1963.
“Kami menjalankan pemeriksaan berperingkat dan menahan 88 lelaki dan 18 wanita atas kesalahan tidak memiliki dokumen serta tinggal lebih masa di negara ini,” katanya di sini, semalam.
Dalam operasi sama, pihaknya mengesan terdapat pendatang asing yang didapati berlumba-lumba membeli slip pendaftaran 6P palsu dijual sindiket pada harga RM300 setiap satu.
“Pendatang terbabit dipercayai mendapatkan khidmat sindiket pemalsuan slip berkenaan yang aktif dipercayai diuruskan syarikat berpangkalan di Pontian, Johor,” katanya.
“Kegiatan ini terbongkar selepas kami mendapati lelaki Indonesia berusia 20-an memiliki slip pendaftaran 6P palsu,” katanya.
Oleh Suraya Roslan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan