20 PERKARA MASIH RELEVAN DI SABAH
TENOM May 28, 2012: Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee menyifatkan kenyataan Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Salleh Tun Said mengenai isu 20 Perkara sebagai tidak menghormati kedaulatan serta menyisihkan hak asasi rakyat negeri ini kerana menganggap isu tersebut tidak sah; kononnya sudah menjadi sebahagian daripada Perlembagaan Malaysia.
Beliau berkata, kenyataan Salleh amat mengecewakan segenap lapisan rakyat kerana sikapnya yang tidak patriotik untuk mempertahankan hak asasi rakyat negeri ini malah sanggup memperlekehkan perjanjian 20 perkara sebagai tidak wujud lagi.
“Saya seorang Peguam banyak membaca dan meniliti perundangan yang melibatkan perjanjian Malaysia, 20 Perkara termasuk hasil persetujuan ketika pembentukan Malaysia 1963 dan juga laporan Inter Governmental Committee (IGC) yang melibatkan Tanah Melayu, Singapura, Sabah, Sarawak yang dipengerusikan Suruhanjaya Cobbold dari United Nation (UN) di mana menetapkan bahawa selagi Perjanjian Malaysia wujud dan tidak cacat selagi itu 20 Perkara tetap wujud,” kata beliau dihadapan kira-kira lebih 500 orang ketika merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri, di Kg Pulong dekat sini pada Ahad.
“Saya tidak tahu sumber mana Datuk Salleh perolehi peraturan tersebut atau mungkin beliau sudah berada dalam situasi menggelabah kerana mendapat tahu bahawa kemungkinan besar Barisan Nasional (BN) sukar dapat mempertahankan kerajaannya pada Pilihanraya umum kali ke-13 ini,” tambahnya.
Tegasnya, dalam ertikata yang lain bahawa perjanjian Malaysia yang ditanda tangani sekitar tahun 1963 masih segar dan masih berkuatkuasa kerana tidak mempunyai had tempoh luput. Bagaimana pun sekiranya ia diputuskan tidak sah, bermakna segala perjanjian yang terlibat pada ketika itu semuanya tidak sah dan batal.
Selain itu, Datuk Yong turut membangkitkan perkara lain kerana baru-baru ini dua bekas penjawat awam menyaman kerajaan berhubung isu Borneonisasi Perkara 8 sepertimana termaktub dalam 20 Perkara dibenarkan oleh Mahkamah untuk dibicarakan.
Tambahnya, adalah jelas memberi gambaran bahawa perjanjian 20 Perkara masih relevan mengikut pandangan Mahkamah. Jikalau tidak sudah pasti ianya sudah ditolak oleh Mahkamah daripada meneruskan saman kedua-dua plaintif.
Turut dibangkitkan Yong adalah masalah tanah tanah NCR yang kini semakin kronik kerana terdapat beberapa insiden rakyat terpaksa merengkok di dalam penjara kerana atas tuduhan menceroboh kawasan larangan Hutan Simpan sedangkan kawasan itu adalah kawasan tanah NCR.
“Kita akan kembalikan tanah-tanah hak mereka apabila SAPP menjadi kerajaan dan dalam masa yang sama kita batalkan pemberian geran komunal dengan syarat rakyat harus bersama sama dengan kita untuk ‘tukar baju atau tukar kerajaan’ pada pilihanraya umum kali ke-13 nanti,” tegas Yong.
“Kalau kita tiada tanah siapa yang peduli kita? Malah tanah merupakan aset kita untuk menentukan arah kemajuan sosio ekonomi kita untuk menjana penghidupan yang lebih bermakna demi anak cucu cicit kita,” tambahnya.
Dalam pada itu, berhubung dengan perayaan Pesta Kaamatan, Yong turut menekankan bahawa SAPP akan terus menghormati serta memelihara perayaan itu yang penuh dengan pengisian adat dan senibudaya suku kaum KDM yang telah diwarisi sejak turun temurun sejak dari nenek moyang masyarakat itu daripada pupus ditelan zaman.
“Kita percaya bahawa pesta yang mempunyai misi adat itu sudah pasti antara lainnya akan memberi galakkan untuk menambah nilai pendapatan padi yang menjadi sumber makanan kita pada tahun tahun mendatang. Selain itu ia juga merupakan majlis khas untuk mensyukuri Bambarayon atau Kenoingan yang memberi berkat dan limpahan rezeki kepada kita,” tegas Datuk Yong.
Yong seterusnya berkata, sekitar tahun 1997 ketika beliau menjadi Ketua Menteri Sabah, laporan pengeluaran beras di negeri ini sebanyak 300,000 metrik tan digunakan, pengeluaran tempatan sebanyak 100,000 metrik tan; manakala import sebanyak 200,000 metrik tan. Ekspot ke Sarawak sekadar 2,000 metrik tan sahaja.
Bagaimanapun, sekiranya SAPP ditakdirkan mengambil alih tampuk kerajaan selepas Pilihanraya umum kali ke-13, parti itu telah siap membuat perancangan untuk 5 tahun ke hadapan kerana sejumlah RM500 juta akan dilaburkan untuk menerokai tanah seluas 100,000 hektar khusus untuk tanaman padi.
Jangkaan itu besar kemungkinan bahawa negeri ini tidak lagi terlalu bergantung kepada pengimportan makanan, khususnya beras kerana berdasarkan fakta itu ianya mampu berdikari; malah berkemungkinan Sabah merupakan salah satu pengeksport beras kepada negara luar kelak, tegas Yong.
Oleh: THAMPARREQ KITOES
Tiada ulasan:
Catat Ulasan