TOBIAR (Pendang) 21 April 2012 – ‘Mati hidup kembali’. Itulah yang diperkatakan oleh seorang warga emas di Kampung Titi Kera dekat sini, yang kesal dan terkejut setelah dimaklumkan kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Alor Setar bahawa dia telah meninggal dunia 20 tahun lalu.
Abu Bakar Saad, 65, berkata, dia mendapat tahu berita kematiannya semasa ingin membuat pertukaran nama atas motosikal jenis Honda EX5 miliknya di pejabat terbabit Selasa lalu, kerana motosikal itu telah dijual di sebuah kedai.
“Saya masih hidup dan memiliki Mykad tetapi terkejut setelah kakitangan JPJ memaklumkan bahawa urusan pertukaran nama tidak boleh dilakukan kerana nama saya dalam sistem disahkan telah meninggal dunia pada 1992.
“Saya terkejut mendengar bahawa saya telah ‘mati’ sedangkan saya masih kuat bekerja, aktif pelbagai sukan dan masih berkhidmat dalam Lembaga Pertanian Muda (Mada) sebagai Ketua Unit Peladang D-III Titi Haji Idris hampir 34 tahun,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Pendang, semalam.
Menurutnya, dengan terbongkarnya maklumat itu menjawab segala persoalan mengenai pelbagai urusan gagal dilaksanakan, termasuk memperoleh sebarang bantuan kerajaan sejak 20 tahun lalu.
Malah, katanya, satu perkara lagi menjadi tanda tanya mengapa namanya tidak tersenarai sebagai pemilih ketika Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu akhirnya diketahui dengan berita ‘kematian’ itu.
“Saya juga gagal memperoleh Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) gara-gara masalah ini dan saya terpaksa membuat rayuan kepada pihak berkenaan, namun tiada jawapan hingga ke hari ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau merujuk perkara itu kepada Jabatan Pendafatran Negara (JPN) Pendang kelmarin untuk membuat semakan, tetapi gagal kerana mengalami masalah teknikal untuk membuat semakan.
Sementara itu, anaknya, Zurina Abu Bakar,30, turut kecewa dengan kesilapan JPN mengenai perkara ini dan berharap agar pihak terbabit dapat mengambil jalan penyelesaian yang terbaik berhubung perkara ini.
“Saya mahukan hak bapa saya balik yang ditindas sepanjang 20 tahun gagal mendapat apa-apa bantuan dan saya sangat kesal dengan kesilapan pihak terbabit.
“Selama 20 tahun bapa saya tertekan memikirkan perkara ini, sedangkan kami orang kampung tidak sepatutnya ditindas sebegini dan sebagai rakyat Malaysia, saya berharap bapa didaftarkan sebagai pengundi supaya dapat menunaikan saya dapat menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih pada PRU akan datang,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan