Khamis, Disember 15, 2011

SIKAP INDIVIDU PENENTU SURVIVAL BAHASA IBUNDA

Sikap individu penentu survival bahasa ibunda

KOTA KINABALU Dec 14, 2011: Sikap individu di negara ini yang malu untuk menuturkan bahasa ibunda sendiri menjadi salah satu ancaman utama kepada kelangsungan bahasa etnik atau daerah yang djuga disebut sebagai dialek.

Menurut Pengkaji Bahasa Melayu, Prof James T Collins, terdapat segelintir individu dalam masyarakat yang berasa malu untuk menggunakan bahasa ibunda mereka dalam kehidupan seharian.

Malah, keadaan diburukkan lagi dengan tindakan mereka yang mengutamakan bahasa asing berbanding bahasa ibunda mereka sendiri.

“Kadangkala mereka tidak mengaku yang mereka boleh bertutur dalam bahasa etnik atau dialek kerana malu dilihat sebagai ketinggalan zaman. Kerana itu wujudnya kelompok masyarakat yang bahasa Inggeris mereka lebih lancar daripada bahasa ibunda.

“Ada juga ibu bapa yang tidak mendidik atau membiasakan anak-anak mereka dengan bahasa ibunda sehingga mereka membesar tanpa boleh bertutur bahasa ibunda. Kononnya, mereka mahu anak mereka dapat menguasai bahasa yang lain yang diangkat sebagai lebih penting dan berprestij,” katanya.

Beliau yang juga Pengarah Pusat Penyelidikan Asia Tenggara, Northen Illinois University Amerika Syarikat berkata demikian kepada media selepas menyampaikan ceramah Penyelidikan Bahasa Berdasarkan Sejarah, Geografi dan Komunikasi di Universiti Malaysia Sabah (UMS), kelmarin.

James berkata, dengan mengambilkira faktor pendidikan, terdapat ibu bapa yang mementingkan penguasaan bahasa tertentu yang dianggap berprestij bagi memastikan anak mereka dapat terus bersaing.

“Misalnya, terdapat masyarakat kampung yang mengutamakan bahasa yang dianggap ‘bandar’ atau masyarakat Melayu yang lebih mengutamakan Inggeris atau masyarakat Cina yang lebih mengutamakan Mandarin berbanding Kantonis atau Hakka..inilah antara ancaman kepada bahasa ibunda.

“Bagi mengubah keadaan ini, tidak perlu melihat kepada aspek lain melainkan diri individu itu sendiri. Untuk mengubah keadaan ini memerlukan mereka mengubah sikap mereka,” katanya.

Beliau berkata, sebagai ‘orang luar’, kerajaan, institusi keagamaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak-pihak berkaitan terpaksa berhadapan usaha yang terbatas kerana isu itu melibatkan kesedaran individu itu sendiri.

“Bagaimanapun, satu pendekatan untuk meyakinkan setiap individu bahawa bahasa etnik atau dialek itu mempunyai keunikan dan harus dipelihara, perlu diambil.

“Usaha yang sama perlu diambil untuk memelihara amalan dan tradisi mereka. Mereka harus ada keyakinan untuk memelihara bahasa, amalan dan tradisi ini,” katanya dalam bahasa Melayu yang fasih.

Sementara itu, dalam ceramahnya, James berkata dari aspek sejarah tidak dapat dinafikan era penjajahan British di Malaysia turut menyumbang kepada penyebaran bahasa dialek.

Menurutnya, melalui rampasan tanah misalnya, menyebabkan terdapat penutur dialek Kedah di bahagian pesisir pantai Perak manakala dialek Patani digunakan di bahagian Ulu Perak.

Keadaan yang sama, katanya, berlaku di Kelantan apabila negeri itu dipisahkan oleh British dari Patani yang pada awalnya di bawah kerajaan Siam yang menyebabkan penutur dialek Patani terdapat di bahagian utara Kelantan.

“Di Melaka, penduduk Alor Gajah (dulunya Naning) menuturkan dialek Negeri Sembilan kesan daripada Perang Naning yang tercetus setelah British tidak berpuas hati kerana hanya mendapat Melaka,” tambahnya.

Dari aspek geografi, kata James, perluasan bahasa Melayu dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti jaringan sungai dan persisiran pantai.

“Sungai adalah jalan pengangkutan utama orang Melayu ketika dulu dan keadaan ini juga dijelaskan dengan penglibatan orang Melayu dalam aktiviti perdagangan.

“Bagi faktor persisiran pantai, kita dapat melihat penutur dialek Terengganu boleh ditemui di pesisir pantai Pahang dan Johor sebagai kesan aktiviti pelayaran,” katanya.

Menyifatkan faktor itu unik, beliau berkata terdapat penutur dialek Kedah di Medan yang menjelaskan faktor persisiran itu mengesani perkembangan bahasa Melayu.

Bahasa Melayu, jelasnya, pernah menjadi bahasa utama Asia Tenggara suatu ketika dahulu memandangkan bahasa itu adalah bahasa perdagangan di Asia Tenggara.

Dekan Sekolah Sains Sosial, Prof Madya Haji Inon Shaharuddin Abdul Rahman dan James berjabat tangan selepas menandatangani Surat Hasrat kerjasama antara Universiti Malaysia Sabah dan Northen Illinois University dalam bidang pendidikan dan pembangunan sumber manusia.

14 ulasan:

  1. Bahasa ibunda perlulah dikekalkan sehingga ke generasi-generasi seterusnya.

    BalasPadam
  2. Jangan biar bahasa ibunda kita lesap begitu sahaja.

    BalasPadam
  3. kita tak harus malu untuk bertutur dalam bahasa ibunda kita. bahasa kita harus kita kekalkan.

    BalasPadam
  4. ba..speaking kan nampak kelas gitu. tu la pasal.

    BalasPadam
  5. Kita tidak perlu malu menggunakan bahasa M'sia. Sebab orang luar pun mempelajari bahasa M'sia.

    BalasPadam
  6. dulu mak saya tidak biasakan kami untuk bertuturkan bahasa ibunda. sebabnya waktu dia bersekolah dia langsung susah untuk faham bahasa malaysia jadi dia takut pla kami pun akan alami masalah yang sama.

    BalasPadam
  7. tapi saya sokonglah sikap individu tu sendiri yang menjadi penentu survival bahasa. dari abang saya hinggalah saya yang lahir, kami dibiasakan dengan BM tapi abang saya cakap dalam bahasa ibunda pula sekarang. itu perubahan sikap yang dia lakukan sendiri. kesedaran sendirilah gtu.

    BalasPadam
  8. Ramai golongan muda sekarang tidak fasih bertutur dalam bahasa ibunda masing2. Ianya agak menyedihkan kerana bahasa ibunda semakin hilang ditelan arus masa. Ibu bapa harus memainkan peranan penting dalam menerapkan penggunaan bahasa ibunda kepada anak2 dari kecil lagi.

    BalasPadam
  9. Most of them can understand but not fluent when speaking the mother tongue.

    BalasPadam
  10. lebih banyak bahasa yang dikuasai samada bahasa ibunda atau asing adalah lebih baik..

    BalasPadam
  11. masa sekolah dulu saya tidak pandai bertutur dalam bahasa ibunda. tapi sekarang saya biasakan diri dan saya sudah boleh bertutur dalam bahasa ibunda.

    BalasPadam
  12. kesedaran perlu ada dalam individu itu sendiri untuk mempelajari dan memastikan bahasa ibundanya kekal.

    BalasPadam
  13. Salam sejahtera kepada Pembaca sekalian,

    Mengenai bahasa ini, kita memainkan peranan untuk menjaga bahasa kebangsaan. Tanpa kita siapa lagi yang akan mewariskannya.

    Datanglah berkunjung ke blog saya..Mari kita sama-sama berkongsi info yang berguna..

    Terima kasih KGSILOU. Maklumat dari bolg anda kita kongsi bersama..

    bayausbh.blogspot.com

    BalasPadam