Pesakit Mati Selepas Alat Kelaminnya Putus Digit Tikus
NEW DELHI, 24 Dis (Bernama) -- Seorang pesakit radang paru-paru atau pneumonia dipercayai mengalami pendarahan teruk sehingga maut akibat alat kelamin lelakinya putus digigit tikus di sebuah hospital kerajaan di Kolkata, demikian menurut laporan sebuah media tempatan.
Kejadian menakutkan itu berlaku di Hospital SSKM pada Jumaat ke atas Arun Sandhukh, 53, semasa dia menerima rawatan kerana penyakitnya itu, kata akhbar Asian Age.
Pihak berkuasa hospital berkenaan mengakui banyak tikus berkeliaran dalam wad namun enggan mengulas lebih lanjut mengenai kejadian tersebut.
"Tidak seorangpun jururawat berada bersama pesakit yang mengerang kesakitan. Alat kemaluan lelakinya putus digigit tikus," kata seorang saudara kepada lelaki malang itu yang hanya dikenali sebagai Bishwanath kepada pemberita.
Ahli keluarga mangsa yang datang melawat menemui Arun mati berlumuran darah, kata laporan itu.
Kejadian malang di hospital yang tidak cukup kelengkapan dan sesak dengan pesakit di Kolkata, ibu negeri Bengala Barat itu telah menarik tumpuan media beberapa minggu kebelakangan ini.
Pada Sabtu lepas, seorang pekerja pembersih hospital yang pemabuk di Kolej Perubatan Calcutta dilaporkan telah mencabut topeng oksigen seorang bayi yang berusia tiga minggu mengakibatkan kematiannya.
Dalam satu lagi tragedi malang di sebuah hospital swasta juga di Kolkata, pada 9 Dis lepas, lebih 90 orang mati lemas terhidu asap dalam satu kebakaran di bangunan hospital tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan