Selasa, September 20, 2011

PENJENAYAH DITEMBAK MATI, UGUT SEBAR GAMBAR LUCAH & BOMOH ROGOL BAWAH UMUR

Empat Penjenayah Ditembak Mati Di Ipoh

IPOH, 20 Sept (Bernama) -- Polis menembak mati empat lelaki dipercayai warga asing dalam satu kejadian berbalas tembak di Jalan Changkat Larang, Pengkalan di sini, Isnin malam.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, ACP Najib Mohamad berkata, kejadian berlaku pada pukul 9.30 malam tadi apabila empat lelaki itu yang menaiki sebuah kereta jenis Proton Wira cuba melarikan diri apabila dihampiri polis.

"Semasa kejadian polis sedang melakukan rondaan di kawasan Menglembu apabila melihat empat lelaki itu dalam keadaan mencurigakan dan apabila dihampiri, mereka memecut laju ke arah Pengkalan", katanya ketika dihubungi hari ini.

Empat penjenayah itu mati ditembak semasa berbalas tembak dengan anggota polis

selepas kenderaan yang dinaiki mereka tersekat di satu jalan mati di Changkat Larang.

Polis turut menemui sepucuk pistol, empat bilah parang, dua komputer riba, dua buah telefon bimbit dan beberapa pakaian dalam kereta penjenayah tersebut.

Siasatan juga mendapati kereta yang digunakan mereka adalah kenderaan curi yang dilaporkan hilang di Ipoh minggu lepas.

Polis akan mengadakan sidang akhbar petang ini berhubung kejadian tersebut.

----------

Kekasih ugut sebar gambar lucah

JOHOR BAHRU: Terjerat dengan cinta ‘Bollywood’ seorang gadis berusia 23 tahun tertekan selepas teman lelaki warga Bangladesh mengugut menyebarkan gambar lucahnya sejurus mangsa menyatakan hasrat memutuskan hubungan cinta terjalin beberapa bulan lalu.

Mangsa mendakwa bekas teman lelakinya yang berusia 40-an dan sudah berkahwin serta mempunyai tiga anak berang mengugut menyebarkan gambar lucahnya di Internet.

Difahamkan, suspek yang bekerja sebagai juruwang di sebuah syarikat kiriman wang ke luar negara turut menuntut mangsa memulangkan RM25,000 dibelanjakan ketika mereka bercinta sebagai syarat memutuskan hubungan.

Mangsa mendakwa diugut awal bulan lalu selepas menghubungi suspek dan menyatakan hasratnya memutuskan hubungan. Bagaimanapun, suspek yang berang menghubunginya dan mengugut menyebarkan gambar lucah wanita berkenaan.

Pada mulanya, mangsa menyangka ia hanya gurauan, namun terkejut melihat beberapa gambar lucahnya dikirim lelaki Bangladesh itu menggunakan e-mel, selain menerusi Kiriman Pesanan Multimedia (MMS).

Gambar lucah itu dipercayai dirakam menggunakan telefon bimbit suspek ketika menginap di sebuah hotel di Seremban beberapa bulan lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU), Asisten Komisioner Ruslan Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan gadis berkenaan Rabu lalu.

-----

Bomoh Warga Indonesia Dipenjara Lapan Tahun, Lima Sebatan Rogol Remaja Diserang Histeria

SHAH ALAM, 19 Sept (Bernama) -- Seorang bomoh warganegara Indonesia dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini Isnin selepas mengaku bersalah merogol seorang remaja berumur 15 tahun yang sedang dirawat akibat histeria, Jun tahun lepas.

Hakim Slamat Yahya memerintahkan tertuduh, Budi Tukul, 35, menjalani hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh dia tangkap iaitu pada 19 Julai lepas.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di rumah sewanya di No 23, Jalan Telipot 3A, Seksyen BS9, Bukit Sentosa 3, Hulu Selangor dekat sini, kira-kira pukul 1 pagi pada Jun tahun lepas.

Budi yang merupakan pendatang asing tanpa izin didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Difahamkan ketika kejadian, tertuduh yang dikenali keluarga remaja perempuan itu sedang merawat mangsa yang diserang histeria.

Perbuatan tertuduh bagaimanapun hanya terbongkar setahun selepas kejadian apabila remaja perempuan itu sekali lagi diserang histeria dan mangsa terpaksa menceritakan mengenai kejadian dia dirogol kepada keluarganya.

Pada 16 Ogos lepas, Mahkamah Majistret Kuala Kubu Baharu menjatuhi hukuman penjara 12 bulan terhadap Budi atas kesalahan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

6 ulasan:

  1. Harap rakyat akan berhati-hati bila membawa diri nanti.

    BalasPadam
  2. makin byk kes jenayah berlaku pada masa kini.

    BalasPadam
  3. jenayah melibatkan warga asing/PATI di negara ini semakin menjadi2 sekarang.

    BalasPadam
  4. sering kali kita dengar kes jenayah yang melibatkan warga asing..harap pekara ini dapat dibanteras..

    BalasPadam
  5. Sudah pendatang membuat jenayah lagi. Sedarlah diri di tempat orang.

    BalasPadam
  6. dimasa akan datang, jika pihak polis mengeluarkan statistik jenayah yang berlaku di seluruh negara, asingkan kes jenayah yang dilakukan oleh warga asing.. dengan ini kerajaan sendiri mampu melihat betapa kritikalnya masalah yang dibawa oleh pendatang asing ke negara ini..

    BalasPadam