Sabtu, Mei 21, 2011

AHLI EKONOMI JANGKA KERAJAAN MANSUHKAN SUBSIDI

Ahli Ekonomi Jangka Kerajaan Mansuhkan Subsidi Beransur-ansur

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Meskipun pengurangan subsidi selanjutnya tidak dapat dielakkan, namun ahli ekonomi percaya kerajaan akan memansuhkannya secara beransur-ansur agar tidak membebankan rakyat miskin dan golongan yang berpendapatan rendah.

Ahli ekonomi Affin Investment Bank, Alan Tan Chew Leong, berkata beliau menjangka kerajaan mengurangkan dan memansuhkan subsidi secara berperingkat agar kos sara hidup rakyat, terutamanya rakyat miskin, tidak menerima kesan yang teruk.

"Kami fikir kerajaan akan mencadangkan pakej pampasan pengimbang untuk membantu golongan berpendapatan rendah menghadapi tekanan inflasi dan kenaikan harga," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual.

Setakat ini, kerajaan telah mengurangkan subsidi bagi bahan api dan gula berikutan program pengurangan subsidi pertama pada pertengahan Julai 2010.

Tidak terdapat sebarang perubahan pada cadangan pengurangan subsidi terdahulu bagi tepung dan minyak masak serta kadar tol, tarif elektrik dan harga gas.

Tan berkata selain pengurangan subsidi, kerajaan juga akan komited untuk mengurangkan perbelanjaan kendalian -- dengan semua kementerian mengamalkan langkah-langkah berjimat cermat -- serta meneroka sumber-sumber pendapatan alternatif seperti pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan.

Beliau berkata penjimatan daripada pengurangan subsidi itu akan disalurkan ke arah menambah baik kemudahan awam.

"Ini termasuklah rangkaian pengangkutan bandar, prasarana asas luar bandar dan jalan raya, serta menambah baik kemudahan pendidikan bagi kanak-kanak," katanya.

Sementara itu, sorang penganalisis berkata jika tarif kuasa dinaikkan sebagai sebahagian daripada rancangan pengurangan subsidi, pengguna domestik yang berpendapatan rendah tidak akan terjejas.

Beliau berkata pengurangan subsidi perlu dilakukan, termasuk kemungkinan menaikkan harga gas kerana jumlah subsidi semakin meningkat dengan ketara disebabkan oleh kenaikan harga minyak mentah, gas dan arang batu dalam pasaran global.

"Petronas membeli gas dan minyak mentah manakala Tenaga Nasional Bhd mendapatkan sumber import arang batunya untuk menjana tenaga elektrik dari pasaran global pada harga antarabangsa yang telah meningkat dengan banyaknya dalam beberapa tahun lalu," katanya.

Beliau berkata kedua-dua entiti ini dan kerajaan menjual tenaga elektrik, gas dan petrol kepada pengguna di Malaysia pada harga subsidi yang malah turut dinikmati oleh syarikat multinasional.

"Dari perspektif lain, Malaysia mensubsidi kos produk negara-negara lain.

"Ini menyebabkan kegagalan pasaran dari segi harga yang bererti ekonomi tidak cekap kos," katanya.

Akibatnya, kata beliau, syarikat-syarikat cenderung bergantung kepada pemberian sedemikian berbanding menyesuaikan diri dan menerima pakai teknologi baharu untuk mengawal kos pengeluaran agar kekal rendah dan seterusnya menjadi lebih cekap dan berdaya saing.

Penganalisis-penganalisis lain berpendapat ekoran cabaran-cabaran yang semakin sengit dan harga komoditi seperti minyak mentah, gas, arang batu dan minyak sawit yang semakin meningkat dalam pasaran global yang menjejaskan simpanan negara, program subsidi Malaysia perlu dikaji semula dan dikurangkan selanjutnya.

12 ulasan:

  1. Kalau kerajaan mahu mansuhkan subsidi, mereka juga perlu pastikan bahawa rakyat boleh menanggung kos kehidupan sekarang.

    BalasPadam
  2. Pastikan gaji rakyat bertambah mengikuti kenaikan harga pasaran. Kalau tidak ini akan membebankan rakyat.

    BalasPadam
  3. Ikat perut la kita ni.

    BalasPadam
  4. pastikan kemampuan rakyat diambilkira bagi mengelakkan rakyat terbeban.

    BalasPadam
  5. pengurangan subsidi untuk mengurangkan beban kerajaan. bagaimaanpun, pengurangan yang dilakukan kena memastikan rakyat tidak terlalu terbeban dgn kenaikan harga barangan.

    BalasPadam
  6. jika ya pun kerajaan ingin mengurangkan subsidi, kenaikan harga barang tu janganlah dilakukan semua sekali dalam satu masa.

    BalasPadam
  7. harap kerajaan sentiasa mempertingkatkan kebajikan rakyat dan sentiasa mengambil kira suara rakyat apabila melaksanakan sesuatu.

    BalasPadam
  8. Nampaknya itulah rancangan kerajaan sekarang. Cuba untuk memansuhkan subsidi. Apa pun jika itu terbaik untuk negara, pastikan rakyat tidak begitu terbeban.

    BalasPadam
  9. Lepas ni kita semua berdiet la ya. hehee

    BalasPadam
  10. Harap kerajaan akan berusah melakukan yang terbaik untuk rakyat dlm berdepan dgn hal ini.

    BalasPadam
  11. Harap kerajaan akan mengingati keperluan rakyat sebelum mengambil apa-apa tindakan.

    BalasPadam
  12. kenaikan minyak tidak boleh dielak, oleh sebab itu kerajaan perlu merancang sesuatu bagi mengembalikan kuasa beli rakyat.

    BalasPadam