Khamis, Februari 10, 2011

KES & PERLAKUAN JENAYAH DI NEGARA INI BERADA DALAM TAHAP TERKAWAL & TIDAK TERLALU MEMBIMBANGKAN - PENGARAH JABATAN SIASATAN JENAYAH

Jenayah Di Malaysia Terkawal, Kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Kes dan perlakuan jenayah di negara ini berada dalam tahap terkawal dan tidak terlalu membimbangkan, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin.

Beliau berkata ini kerana setiap tindakan yang diambil pihak berkuasa dalam memerangi jenayah adalah yang terbaik dan berterusan dalam memastikan keadaan keselamatan negara terkawal.

Katanya, banyak faktor penyebab jenayah berlaku dan pihak berkuasa sendiri berdepan dengan pelbagai cabaran namun pihaknya percaya mereka berupaya menghadapinya dengan mengambil tindakan sewajarnya.

"Tidak tepat mengatakan Malaysia merupakan negara tidak selamat sedangkan di negara-negara lain turut berlaku kes jenayah serupa dan lebih serius, malah keadaan di Malaysia masih terkawal dan boleh dibanggakan.

"Malah jika dilihat dari sudut kejayaan penyelesaian, Malaysia adalah salah satu negara yang diakui terbaik dalam dunia di mana secara purata kita berjaya menyelesaikan sebanyak 45 peratus kes jenayah," katanya dalam program 'Bicara Rakyat' di Auditorium Memorial Tunku Abdul Rahman Putra di sini Rabu malam.

Beliau berkata kes culik misalnya, polis berjaya menyelesaikan kes-kes tersebut dalam tempoh yang singkat dan pantas dan boleh dikatakan 100 peratus kes culik yang dilaporkan berjaya diselesaikan.

Katanya tuduhan bahawa polis 'memilih bulu' dan tidak serius dalam menangani kes jenayah adalah tidak berasas kerana segala tindakan diambil berpandukan peruntukan kuasa dan undang-undang yang ada.

"Persepsi masyarakat bahawa polis lembab dan tidak efisyen adalah tidak tepat...kita tidak faham kenapa ada masyarakat lihat kita seperti musuh sedangkan kita jalankan tugas dengan berpandukan undang-undang yang kadangkala hingga menggugat keselamatan dan mengorbankan nyawa kita.

"Jangan bandingkan dengan cerita-cerita di televisyen seperti CSI yang dilihat boleh selesaikan kes dengan begitu pantas...kita perlukan penyiasatan menyeluruh dan kadangkala kita perlukan masa kerana berhadapan dengan kesukaran mengumpul bahan bukti," katanya.

Mengenai kes rogol pula, Mohd Bakri berkata 80 peratus kes rogol dilakukan oleh mereka yang mempunyai hubungan atau yang mengenali mangsa termasuk oleh anggota keluarga atau rakan.

"Hanya 20 peratus dilakukan oleh orang yang tidak dikenali...yang dilakukan dengan cara ganas dan tanpa dirancang," katanya.

Mengenai tahanan mati dalam lokap, beliau berkata kebanyakan kematian berpunca daripada penyakit yang dihadapi selain akibat pergaduhan, dan bukannya disebabkan dipukul atau didera polis seperti yang sering diperkatakan.

13 ulasan:

  1. Pihak polis masih perlu berusaha menangani masalah jenayah di negara.

    BalasPadam
  2. pihak polis byk membantu dalam membanteras jenayah di negara kita. kita harus menghargai jasa dan pengorbanan mereka.

    BalasPadam
  3. teruskan usaha agar jenayah dapat dikurangkan lagi.

    BalasPadam
  4. kerjasama dari semua pihak dalam menangani jenayah pasti akan dapat mengurangkan lagi jenayah yang ada.

    BalasPadam
  5. Harus dikekalkan dan harus berkurangan dari masa ke semasa. Jangan terlalu selesa dengan keadaan itu, kerana bila2 masa ianya boleh bertukar menjadi yang terburuk dan tidak dapat dikawal.

    BalasPadam
  6. Baguslah tue. Apapun, pihak polis harus teruskan usaha mereka.

    BalasPadam
  7. semoga jenayah dpt dihapuskan.

    BalasPadam
  8. Baguslah jika jenayah dinegara kita ini dapat dikawal. semoga para pihak berkuasa keselamatan akan terus menangani masalah jenayah di negara ini.

    BalasPadam
  9. saya harap penjelasan ini cukup untuk memberi kelegaan kepada semua rakyat malaysia.. langkah yang paling berkesan adalah jaga diri sendiri dan sentiasa berhati2..

    BalasPadam
  10. Baguslah kalau berkurang, at least takda penambahan. hehehe

    BalasPadam
  11. Apapun, pihak berkuasa masih perlu menumpukan sepenuhnya usaha mereka utk terus membanteras kegiatan jenayah di negara kita.

    BalasPadam
  12. Harap pihak polis akan melakukan yang terbaik untuk memastikan kes jenayah akan terus berkurangan.

    BalasPadam
  13. Saya berharap masalah jenayah di negara kita akan dikurangkan lagi.

    BalasPadam