Selasa, Februari 22, 2011

CALON TEMPATAN YANG BERKELAYAKAN DIUTAMAKAN UNTUK MENGISI KEKOSONGAN JAWATAN GURU DI SABAH SARAWAK

Calon Tempatan Yang Berkelayakan Diutamakan Untuk Mengisi Kekosongan Jawatan Guru

KOTA KINABALU, 21 Feb (Bernama) -- Kementerian Pelajaran akan memberi keutamaan kepada calon anak tempatan yang akan mengajar di Sabah dan Sarawak, namun kualiti guru tidak boleh dikompromi.

Ketika menegaskan perkara itu, Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong berkata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran, turut berpendapat bahawa keutamaan harus diberi kepada penduduk Sabah dan Sarawak untuk mengajar di kedua-dua negeri itu, asalkan mereka berkelayakan.

"Pendirian kementerian kami ialah kami mesti mendapatkan calon berkelayakan untuk memohon Kursus Perguruan Lepas (KPL) SPM dan Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI).

"Kami tidak boleh menawarkan tempat kepada sesiapa sahaja, jika calon tidak boleh menamatkan latihan kerana tidak memenuhi syarat kelayakan asas, kami tidak mahu terjerumus dalam keadaan ini.

"Dalam kata lain, untuk memberi keutamaan kepada anak Sabah dan Sarawak, kami tidak boleh terus menerus memberi guru sementara kepada Sabah.

"Kami mahu mereka mendapat guru berkelayakan dan jika kami tidak memberi mereka guru berkelayakan, mereka akan berkata kami meminggirkan Sabah dan Sarawak. Jadi anda boleh lihat betapa kami berada dalam kedudukan yang sukar," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak SJK (C) Chee Hwa di sini Isnin.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang menggesa kementerian supaya melanjutkan kontrak 578 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) di Sabah yang tamat pada tahun lepas.

Pairin yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata perlanjutan kontrak itu perlu memandangkan berlaku kekurangan guru di Sabah, terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman, namun kementerian itu sebaliknya mempertimbangkan untuk menghantar guru dari Semenanjung Malaysia untuk mengatasi masalah itu.

Wee berkata saban tahun kementerian menerima beribu-ribu permohonan bagi jawatan guru dalam semua kategori sekolah.

Beliau berkata kementerian berharap ahli politik dan kalangan pemimpin di Sabah memberi sokongan dengan membawa lebih ramai anak tempatan yang berminat dalam profesion berkenaan serta menggesa mereka supaya menghadiri temuduga terbuka pada Mac ini.

"Pengambilan bagi KPL SPM akan bermula bulan depan dan saya harap penduduk Sabah akan mengambil inisiatif dengan memohon kemasukan ke institut latihan perguruan untuk meningkatkan jumlah guru berkelayakan," katanya.

Sabtu lepas, Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata kerajaan akan terus menghantar guru dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak, sehingga kedua-dua negeri terbabit mempunyai gurunya sendiri yang cukup untuk memenuhi keperluan.

Dr Mohd Puad berkata kedua-dua negeri berkenaan masih tidak dapat memenuhi kuota guru berdasarkan permintaan, walaupun dengan temuduga terbuka diadakan di kedua-dua negeri itu.

15 ulasan:

  1. Saya yakin Sabah dan Sarawak juga ada guru yang berkemampuan untuk mengajar. Sabah boleh.

    BalasPadam
  2. Kita tidak semestinya memerlukan guru dari luar negeri. Guru Sabah juga boleh menjalankan tugas dengan baik. Bagilah peluang untuk orang Sabah.

    BalasPadam
  3. Rakyat Sabah kena buktikan bahawa anda layak untuk mendidik bangsa sendiri.

    BalasPadam
  4. memang wajar calon tempatan berkelayakan diberikan keutamaan untuk mengisi kekosongan jawatan guru di Sabah dan Sarawak.

    BalasPadam
  5. harap calon yang berkelayakan dan berminat, dapat mengambil peluang ini untuk mengisi kekosongan guru di Sabah dan Sarawak.

    BalasPadam
  6. Sementara menunggu guru2 yang terlatih menamatkan pembelajaran mereka, saya rasa tidak ada salahnya kita memberi peluang kepada guru GSTT untuk memenuhi ruang tersebut.

    BalasPadam
  7. saya setuju dengan apa yang dikatakan oleh Timbalan Menteri Pelajaran. guru perlu mempunyai tahap amalan nilai profesionalisme keguruan, pengetahuan dan kefahaman, serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran yang tinggi bagi membolehkan mereka berfungsi sebagai guru profesional dengan berkesan. oleh sebab itu calon yang berkelayakan dan terlatih perlu diketengahkan untuk memikul tanggungjawab tersebut.

    BalasPadam
  8. tapi bukankah lebih baik kementerian pelajaran memberikan latihan atau kursus kepada semua guru sandaran memandangkan mereka juga sebenarnya mempunyai kelayakan serta pengalaman?

    BalasPadam
  9. sabah dan sarawak mengalami masalah kekurangan guru hingga terpaksa membawa guru2 dari semenanjung, tapi jika dilihat ramai guru2 dari sabah dan sarawak yang dibawa ke semenanjung.

    BalasPadam
  10. Semoga mereak yang berkelayakkan akan dapat peluang untuk mendidik generasi kita akan datang.

    BalasPadam
  11. ramai yang berkelayakan di sabah dan sarawak untuk menjadi guru, dan mereka harus diberi peluang.

    BalasPadam
  12. Baguslah tu. Ini memang berita baik:)

    BalasPadam
  13. Semoga hanya calon yang benar2 berkelayakan saja diketengahkan utk mengisi kekosongan yang ada bagi memastikan mereka dapat melahirkan generasi yang berpengetahuan tinggi.

    BalasPadam
  14. Bagilah keutamaan kepada anak tempatan yang layak sebelum mengambil mereka dari Semenanjung.

    BalasPadam
  15. Keutamaan mesti diberi kepada warga Sabah. Tak semestinya perlu import dari semenanjung.

    BalasPadam