Ahad, Ogos 29, 2010

CEO WANITA SAMAN SYARIKAT TELEKOMUNIKASI RM20 JUTA

CEO Wanita Saman Syarikat Telekomunikasi RM20 Juta

KOTA BAHARU, 29 Ogos (Bernama) -- Seorang Ketua Pegawai Eksekutif wanita di sebuah kolej swasta di Kuala Terengganu hari ini menyaman sebuah syarikat telekomunikasi sebanyak RM20 juta kerana didakwa mendedahkan kandungan Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dan rakaman perbualan telefon beliau dengan individu lain.

Noor Haslina Abdullah, 39, memfailkan saman itu di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada 2 petang melalui Tetuan Rafizi Zubairi & Co terhadap syarikat itu yang beribu pejabat di Kuala Lumpur, yang juga mempunyai cawangannya di sini.

Dalam pernyataan tuntutannya, Noor Haslina yang beralamat di Kolej Islam Sains dan Teknologi, Lot 1798-1800, Mukim Telong, Kandis, Bachok menuntut RM10 juta bagi pendedahan SMS dan RM10 juta lagi bagi pendedahan perbualannya iaitu merangkumi ganti rugi teladan iaitu masing-masing sebanyak RM8 juta dan ganti rugi bagi kecederaan perasaan, trauma dan tekanan mental sebanyak RM2 juta.

Selain itu, plaintif turut menuntut ganti rugi am, faedah ke atas jumlah penghakiman pada kadar 8 peratus setahun dari tarikh 30 Mei 2010 sehingga penyelesaian selesai, kos dan apa-apa relif yang dianggap sesuai oleh mahkamah.

Dalam pernyataannya, plaintif berkata pada 11 Mac lalu sewaktu tiba di pejabatnya, beliau menerima satu sampul surat kiriman di mana kandungannya mengandungi sembilan helai muka surat bersaiz A4 dokumen milik syarikat telekomunikasi itu serta pemacu pena 'Kingston Data Traveller 4GB' berwarna biru.

Nor Haslina berkata beliau membuat laporan polis terhadap defendan pada 14 Mac lepas, yang mana akibat daripada pendedahan itu, plaintif mendakwa mengalami trauma, ketakutan, malu, kehilangan reputasi dan dipandang serong oleh masyarakat dan keluarga.

Plaintif juga mendakwa menghadapi fitnah yang teruk oleh masyarakat dan meminta rakan-rakan untuk menemaninya untuk bergerak ke mana-mana kerana takut selain mengalami ketakutan melampau untuk menggunakan talian telefon defendan kerana bimbang maklumat peribadi dan rahsia plaintif dikeluarkan.

Beliau berkata defendan melakukan kesalahan pecah kontrak terhadap dirinya kerana mengeluarkan maklumat sulit dan persendirian miliknya kepada orang lain tanpa mendapat persetujuan dan kebenaran serta juga melakukan pencerobohan ke atas hak peribadi dan persendirian plaintif itu.

Defendan, menurutnya gagal menjelaskan tuntutan plaintif melalui notis tuntutan bertulis bertarikh 30 Mei lalu.

------

Cell Phone Tapping

Your Cell Phone Can Be Used to Eavesdrop on You - Even When Turned Off!

~~~~~

CEO kolej swasta saman Celcom RM20j

Tiada ulasan:

Catat Ulasan