Salahkah Bukan Islam Memasuki Masjid?
Oleh HAIRULAZIM MAHMUD
KECOH apabila dua wakil rakyat bukan Islam selepas Exco Kerajaan Negeri Selangor, Dr Xavier Jayakumar berucap dalam satu majlis berbuka puasa di dewan utama Masjid Taman Sri Andalas, Klang pada Ogos tahun lepas sehingga menimbulkan perasaan kurang senang di kalangan umat Islam.
Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching dari DAP yang dikatakan menyampaikan 'tazkirah' di dalam Surau Al-Huda Kajang Sentral pada Ahad lalu sementara rakannya Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula diberi 'kebebasan' berada di saf paling hadapan di Masjid at-Taqwa, Selayang Baru.
Mengikut Kamus Dewan, tazkirah bermaksud ceramah ringkas tentang agama Islam sebagai peringatan.
Namun tidak dapat dipastikan kedua-dua Ahli Parlimen itu 'bertazkirah' atau tidak. Ataupun penggunaan perkataan 'tazkirah' sesuai digunakan dalam isu ini.
Kedua-dua mereka berada di rumah ibadah umat Islam atas jemputan jawatankuasa masjid dan surau terbabit dan adanya mereka di situ telah mencetuskan polemik yang dahsyat seolah-olah mereka telah meruntuhkan atau mencemari surau dan masjid sehingga ke tahap yang tidak boleh dimaafkan lagi.
Banyak pihak menghukum kedua-dua wakil rakyat bukan Islam ini seolah-olah mereka sengaja mahu mencemarkan rumah ibadah umat Islam sedangkan jelas mereka adalah seolah-olah mangsa keadaan.
Sebagai reaksi segera atas insiden tersebut Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohammed Khusrin Munawi terus menghukumkan bahawa orang bukan Islam tidak dibenarkan memasuki ruang solat utama kerana mereka tergolong dalam berkeadaan hadas besar.
Kenyataan orang nombor satu JAIS itu ternyata bertentangan dengan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-90 yang bersidang pada 1 Mac lalu telah membincangkan `Hukum Pelancong Bukan Islam Memasuki Masjid Dan Ruang Solat Utama Di Dalam Masjid'.
Jawatankuasa Fatwa telah memutuskan bahawa pelancong bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat mendapat keizinan pihak pengurusan masjid dan perlakuan serta tingkah laku mereka tidak mencemarkan kesucian masjid dan sentiasa terkawal dan beradab.
Menurut portal rasmi fatwa Malaysia Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di alamat http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-pelancong-bukan-islam-memasuki-masjid-dan-ruang-solat-utama-di-dalam-masjid, bagaimanapun perbuatan berdoa atau bertafakur oleh pelancong bukan Islam mengikut cara agama mereka dalam keadaan yang boleh menimbulkan fitnah adalah dilarang. Pelancong dalam fatwa ini menyebut yang bukan Islam dan kedua-dua wakil rakyat itu sememangnya bukan Islam.
Dalam isu melibatkan Teo, jika mahu dipersalahkan sekalipun ialah melibatkan perkara etika berpakaian yang tidak tidak menutup kepala bukannya kerana beliau menyampaikan 'tazkirah' yang jelas bukan ceramah politik sebaliknya menyebut tentang bantuan pelajaran oleh Kerajaan Negeri Selangor.
Namun, siapakah yang sepatutnya dipersalahkan dalam soal etika berpakaian para jemputan kalau bukan mereka yang menjemput? Dalam soal ini, pihak yang patut dipersalahkan sepenuhnya ialah Jawatankuasa Surau Al-Huda yang beragama Islam sepatutnya menegur atau menasihati Teo supaya berpakaian lebih sopan dengan menutup kepala.
Sebaliknya, beliau yang bukan Islam itu dibiarkan berada di bahagian depan surau tanpa menutup kepala. Sepatutnya ahli jawatankuasa perlu sensitif dalam soal ini.
Tetapi berlainan halnya dengan rakan Teo di Selayang. William berada di Masjid at-Taqwa, Selayang Baru dikatakan atas jemputan jawatankuasa masjid berkenaan. Beliau berpakaian sempurna, selain mematuhi etika pemakaian di dalam masjid.
Jadi adakah wajar beliau dituduh sebagai mencemarkan masjid? Sama-samalah kita fikirkan. Dalam isu ini, pendapat politik diletakkan di depan berbanding hukum dalam Islam. Wajarkah umat Islam mendahului nafsu politik berbanding hukum agama sendiri? Tepuk dada tanya selera.
Sebaik-baiknya kita rujuk pada hujah Jawatankuasa Fatwa dalam soal ini iaitu dalam hal-hal yang berkaitan ibadah, sensitiviti umat Islam sangat tinggi dan nilai-nilai ta'abbudi (menghambakan diri dengan Allah) amat dititikberatkan oleh masyarakat Islam.
Selain itu, umat Islam dibenarkan melakukan ibadah sembahyang walaupun di dalam gereja kerana Saidina Umar al-Khattab pernah melakukannya. Umat Islam perlu bersikap tasamuh (berlapang dada atau terbuka) dan tidak terlalu rigid dalam membenarkan orang bukan Islam mendekati masjid.
Fatwa itu diakhiri dengan hujah bahawa keindahan Islam boleh ditunjukkan kepada orang bukan Islam melalui lawatan mereka ke masjid-masjid selaras dengan peraturan dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh pengurusan masjid
Setahu saya, tidak ditulis di mana-mana bahawa orang bukan Islam tidak boleh memasuki masjid jika pemakaian dan perbuatan mereka itu sopan.
BalasPadamTeo hnylah mangsa keadaan, hal ini hnyalah salah faham, lagipun beliau telah pun membuat permohonan maaf kerana secara tak sengaja menyinggung perasaan umat Islam.
BalasPadamsesiapapun perlu lah berusaha untuk tidak melakukan pekara yang boleh menimbulkan sebarang isu.
BalasPadamAdui~ hal ini pun mahu diperbesarkan...
BalasPadambukan untuk menyalahkan siapa2 tetapi sebagai pengajaran supaya tidak melakukan perkara yang sama di masa akan datang. pihak yang mengkritik bukan mempersoalkan siapa yang masuk masjid tersebut tetapi berkenaan dengan etika berpakaian. PR sepatutnya mengakui serta membuat penjelasan lebih awal berkenaan dengan kesalahan ini sebelum ianya menjadi topik utama politik.
BalasPadamsemua pihak berharap isu seperti ini tidak akan timbul lagi. sebarang tindakan yang boleh menimbulkan pelbagai isu perlu dielakkan
BalasPadamJangan perbesarkan hal ni - takut nanti merosakkan keharmonian negara.
BalasPadamSalah atau tak tu, terpulanglah pihak2 yang terlibat. Cuma bagi saya hal ni tak sepatutnya dipersalhkan. Kalau memang tak boleh masuk masjid, laranglah dengan baik dan jika boleh masuk masjid pula terimalah keadaan mereka seadanya. Apapun, saya ni kurang arif dalam soal agama, so saya no komen la:P hehe
BalasPadamKenapalah hendak membesarkan hal ini pada musim ini?
BalasPadamlain kali jangan bawa unsur2 politik ke dalam masjid dan patuhi etika berpakaian bagi menghormati agama orang lain.
BalasPadam