Ada Pemimpin LDP Bersepakat Dengan Pihak Tertentu Jatuhkan Musa, Dakwa Salleh Said Keruak
KOTA KINABALU, 28 Ogos (Bernama) -- Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Salleh Tun Said Keruak mendakwa ada pemimpin Parti Liberal Demokratik (LDP) bersekongkol dengan pihak tertentu untuk menjatuhkan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.
Beliau berkata pihak berkenaan juga merancang untuk meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggugurkan Musa selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah.
"Kami percaya ada dalang di sebalik semua ini dan kami tahu apa yang mereka lakukan, tetapi kami BN Sabah tidak akan membiarkan mereka merealisasikan agenda mereka yang melakukan serangan peribadi ke atas Datuk Seri Musa," katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Sabtu.
Salleh yang juga bekas Ketua Menteri mempersoalkan rasional di sebalik kenyataan Presiden LDP Datuk Chin Su Phin pada Selasa lepas, dan mendakwa ianya adalah sebahagian daripada plot untuk menjatuhkan Musa.
"Kami percaya majoriti pemimpin LDP adalah rasional dan cukup bijak untuk membezakan antara yang betul dan yang salah, terutamanya apabila isu yang dibangkitkan Chin melibatkan kepentingan peribadi orang lain.
"Keadaannya mungkin berbeza jika isu yang dibangkit adalah berkaitan kepentingan masyarakat," katanya.
Beliau seterusnya menasihatkan pemimpin LDP agar tidak membiarkan diri mereka dipengaruhi oleh pihak-pihak tertentu yang mempunyai agenda sendiri.
Salleh juga yakin semua parti komponen BN Sabah akan menyokong Musa yang telah membuktikan keupayaannya memimpin negeri sejak menjawat jawatan Ketua Menteri pada 2003.
Dalam kenyataannya pada Selasa, Chin dilapor berkata LDP tidak lagi dapat bekerja dengan Musa tetapi akan terus menyokong dan bekerjasama dengan UMNO serta menyatakan sokongan penuh kepada Perdana Menteri dan gagasan 1Malaysianya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan