Isu Mendesak Di Sabah Boleh Ditangani Melalui Program Transformasi
KOTA KINABALU, 1 Mac (Bernama) -- Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata beliau yakin input daripada Makmal Pembangunan Bumiputera Sabah dan Sarawak di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP) mampu menyelesaikan kebanyakan masalah yang berlarutan sejak sekian lama di negeri ini.
Bercakap kepada pemberita selepas meninjau perkembangan makmal itu di sini Isnin, beliau berkata apa yang penting ialah wujudnya keserasian antara kerajaan negeri dan persekutuan serta peranan yang mereka mainkan dalam menyelesaikan isu berkenaan.
"Sekurang-kurangnya, sekarang kami tahu dengan lebih jelas apakah masalah yang mendesak itu dan bagaimana untuk mengatasinya, melalui syor yang dikemukakan oleh makmal ini.
"Dengan input yang diperolehi daripada makmal ini, saya yakin kami dapat menyelesaikan kebanyakan masalah berkenaan," kata Musa apabila ditanya mengenai isu-isu seperti kemiskinan di negeri itu.
Musa berkata beliau berpuas hati dengan kemajuan makmal berkenaan, yang bermula di Kota Kinabalu pada 22 Feb dan disertai 100 orang.
"Peserta termasuk pegawai-pegawai kerajaan dari Sabah dan Sarawak begitu komited sekali, kerja siang malam untuk mencari input dan kaedah-kaedah yang terbaik untuk selesaikan apa juga masalah yang didapati," katanya.
Makmal itu dibahagikan kepada lima bidang iaitu pembangunan pendidikan, pembangunan ekonomi, pembangunan infrastruktur, pembangunan sosial dan perkara berkaitan hak/undang-undang adat pribumi.
Ketua makmal bagi Sarawak, yang juga Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ose Murang, berkata sesetengah perkara perlu dirujuk kepada kerajaan negeri masing-masing sebelum dibawa kepada jawatankuasa teknikal.
"Contohnya isu berkaitan Mahkamah Pribumi... ia tidak boleh dibawa terus ke Putrajaya kerana ia adalah perkara berkaitan negeri yang perlu dibincangkan dengan pemimpin negeri," katanya.
Jawatankuasa teknikal berkenaan dipengerusikan Tan Sri Bernard Dompok. Jawatankuasa ini bekerjasama dengan Jawatankuasa Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi memastikan segala strategi dan rancangan ke arah meningkatkan kemajuan Bumiputera di Sabah dan Sarawak, mencapai kejayaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan