MEB Janjikan Manfaat Kepada Semua Rakyat
KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) -- Model Ekonomi Baru (MEB) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada hari Selasa menjanjikan manfaat kepada semua rakyat tanpa mengira kaum menerusi matlamat dan pendekatan pertumbuhan yang menyeluruh.
Berdasarkan model itu, pertumbuhan "pro-miskin" akan memastikan tidak ada kumpulan dipinggirkan dan keperluan utama rakyat akan dipenuhi.
Mengikut MEB, penyertaan menyeluruh akan membolehkan semua golongan masyarakat menyumbang kepada dan berkongsi kekayaan negara.
Satu cabaran utama untuk mencapai pertumbuhan menyeluruh ialah memperkenalkan langkah berkesan yang dapat mengimbangkan antara kedudukan istimewa Bumiputera dan hak kumpulan-kumpulan yang berbeza.
Dalam mengambil kira bahawa masyarakat yang mempunyai kepentingan tersendiri mudah terjebak dalam perbalahan, MEB mengiktiraf bahawa populasi Malaysia yang berbilang kaum masih merupakan satu ciri luar biasa negara ini.
"Kepelbagaian kaum ini akan sentiasa bersama kita," demikian menurut model baru itu.
Oleh sebab itu, program tindakan mesra pasaran sejajar dengan prinsip penyertaan menyeluruh menyasarkan bantuan kepada 40 peratus isi rumah di peringkat bawahan, 72 peratus daripadanya Bumiputera yang kebanyakannya terdapat di Sabah dan Sarawak, dan memastikan peluang yang adil dan saksama menerusi proses yang telus.
Ia akan membuka ruang kepada sumber berasaskan keperluan dan merit ke arah meningkatkan keupayaan, pendapatan dan kesejahteraan selain mempunyai rangka kerja intelektual yang mantap bagi pengawasan dan pelaksanaan secara efektif.
Program Transformasi Ekonomi (ETP-Economic Transformation Programme) akan menyediakan mekanisme untuk meningkatkan kemampuan kumpulan 40 peratus yang di bawah ini supaya mereka menggunakan peluang yang ada untuk mendapat pekerjaan lebih baik, memperbaiki produktiviti dan menambah pendapatan.
Kumpulan ini akan dibantu menerusi program mengasah kemahiran agar mereka dapat menggunakan naluri keusahawanan ini untuk memulakan dan seterusnya memajukan perniagaan mereka, demikian menurut MEB.
Model baru itu juga menjanjikan : "Setiap keluarga diberi peluang dan keupayaan mengejar impian di bandar raya moden, bandar dan kampung yang bersaling kait. Mereka akan hidup, bekerja dan belajar dalam persekitaraan yang bebas jenayah, diskriminasi dan ketidaktentuan."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan