SPRM Adakan Perjumpaan Dengan Media Alternatif
PUTRAJAYA, 3 Feb (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Rabu mengadakan perjumpaan tertutup dengan media alternatif bagi memberi taklimat dan mengadakan perbincangan dua hala untuk meningkatkan kerjasama dalam pencegahan rasuah.
Menurut kenyataan SPRM pada Rabu, perjumpaan yang julung kali diadakan itu dipengerusikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Abu Kassim Mohamed dengan Ketua-ketua Pengarang Media Alternatif di ibu pejabat SPRM di sini.
Pihak media alternatif yang hadir terdiri daripada akhbar Harakah, Harakah Daily, Merdeka Review, Rocket, Suara Keadilan, TV Selangor, MalaysiaKini, Malaysian Insider dan Konsep Era Pakatan.
"SPRM berharap perjumpaan seumpama ini dapat dijadikan medan perbincangan dua hala di antara SPRM dengan pihak media agar aspirasi suruhanjaya itu untuk meningkatkan keyakinan dan memperbaiki persepsi masyarakat terhadap pencegahan rasuah berasaskan kebebasan, ketelusan dan profesionalisme dapat dicapai," menurut kenyataan itu.
Menurut SPRM perjumpaan seperti itu akan diadakan dari semasa ke semasa bagi membina hubungan baik di antara SPRM dan media.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan