Sabtu, Februari 20, 2010

SEORANG GURU DIPERCAYAI MENGEDAR DADAH SECARA SAMBILAN KERANA MAHU MENJALANI KEHIDUPAN MEWAH DAN BERGAYA

Guru edar dadah idam hidup mewah

BATU PAHAT: Seorang guru sains di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Rengit, di sini, ditahan polis, Rabu lalu selepas dipercayai mengedar dadah secara sambilan kerana mahu menjalani kehidupan mewah dan bergaya.

Guru lelaki berusia 31 tahun itu baru berjinak-jinak dalam pengedaran dadah kira-kira dua bulan lalu dan menggunakan kereta Proton Savvy miliknya untuk menghantar sendiri bekalan apabila menerima tempahan.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ibrahim Mohd Aris, berkata kegiatan guru lelaki itu akhirnya dihidu polis apabila dia ditahan kira-kira jam 10 malam dalam satu sekatan jalan raya di sekitar daerah ini, Rabu lalu.

Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat seorang guru menjadikan keretanya sebagai tempat menyimpan dan membawa bekalan dadah kepada pelanggan.

Katanya, dalam sekatan jalan raya itu, kenderaan guru terbabit ditahan polis dan hasil pemeriksaan yang dilakukan polis menemui satu paket dadah dipercayai jenis heroin seberat 16.6 gram di dalam keretanya.

"Pemeriksaan ke atas lelaki itu mendapati dia tidak mempunyai sebarang rekod jenayah. Namun, dia mengaku menjual dadah dengan alasan mahu menambah pendapatan. Hasil siasatan juga mendapati guru berkenaan masih bujang dan sudah mengajar di SJKC itu sejak sembilan tahun lalu," katanya di sini, semalam.

Ibrahim berkata, lelaki terbabit kini ditahan reman mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan