Persatuan Bola Sepak Indonesia Didenda AS$5,000 Kerana Penyokong Tak Hormati Lagu Negaraku
JAKARTA, 26 Feb (Bernama) -- Aksi para penyokong Indonesia yang tidak menghormati lagu kebangsaan Malaysia, Negaraku ketika pasukan kebangsaan Malaysia menentang Vietnam dalam pertandingan pusingan kelayakan Piala AFC Futsal di sini Isnin lepas, mengakibatkan Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) didenda AS$5,000 (RM 17,006).
Tindakan itu diambil oleh Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) setelah Pengurus Pasukan Malaysia Datuk Hamidin Mohd Amin membuat bantahan rasmi mengenai kejadian itu kerana kelakuan itu telah mencemarkan maruah sebuah negara.
Walaupun Indonesia menempah tempat ke pusingan akhir Kejuaraan Futsal Asia 2010 di Uzbekistan Mei ini, aksi penyokongnya itu sedikit sebanyak mencemarkan kejayaan pasukan republik itu.
Pasukan tuan rumah layak ke pusingan akhir di Uzbekistan setelah menewaskan Malaysia 3-5 di peringkat separuh akhir pada Rabu lepas.
Dalam kejadian pada hari Isnin di Stadium Tenis Tertutup Senayan itu, sejurus pasukan negara memasuki stadium dan lagu Negaraku dimainkan, para penonton telah menyanyikan lagu kebangsaan mereka, Indonesia Raya.
Nyanyian oleh para penonton yang ramai itu menyebabkan lagu Negaraku menjadi tidak kedengaran.
Para penonton juga tidak bangun menghormati ketika lagu kebangsaan negara lain dimainkan.
Semasa permainan berlangsung pula, ada penonton meneriak perkataan maling (pencuri) dan banci (pondan) kepada pemain pasukan Malaysia.
Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia, Andi Malarangeng telah memohon maaf berhubung kejadian itu.
Penganjur juga kemudiannya mengingatkan para penonton supaya tidak membuat bising dan bangun menghormati lagu kebangsaan negara lain ketika ia dikumandangkan, bagi memastikan kejadian sama tidak berulang pada perlawanan seterusnya yang membabitkan Malaysia.
Pasukan negara pulang ke tanah air dengan rasa hampa setelah tewas kepada pasukan Vietnam 3-6 pada perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat semalam, dan dengan kegagalan itu juga bermakna Malaysia gagal menempah tempat ke Uzbekistan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan