Jumaat, Februari 19, 2010

"TUNJUKLAH MUKA PADA RAKYAT, JANGAN TUNJUK MUKA PADA PEMIMPIN. SAYA DAH LAMA BERPOLITIK, SAYA TAHU ADA YANG SANGGUP TUNGGU SAYA DI LAPANGAN TERBANG SEBAB NAK SALAM DAN TUNJUK MUKA KAT SAYA, TUNJUK MUKA KAT SAYA, BUAT APA?"

Nilai Diri Sendiri Sebelum Dinilai Rakyat - Najib

BANDAR JENGKA, 19 Feb (Bernama) -- Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak berkata para pemimpin Umno dan anggota Umno perlu bermuhasabah diri dan menilai diri sendiri sebelum mereka kelak dinilai oleh rakyat pada pilihan raya akan datang.

"Menerusi proses muhasabah ini, kita perlu membuat kesimpulan apa bentuk kejayaan untuk diserlahkan oleh kita dan apa kelemahan yang perlu diperbaiki," katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Umno Pahang di sini, Jumaat.

"Jadi kita kena nilai diri sendiri, lebih baik nilai diri sendiri dahulu, sebelum dinilai oleh rakyat. Bila menilai diri sendiri, kita harus lihat daripada pelbagai persepektif, lihat perspektif rakyat, lihat daripada persepektif orang yang akan menilai kita," katanya.

Najib berkata kegagalan Barisan Nasional memperoleh dua pertiga pada pilihan raya umum lepas dan kalah di lima buah negeri bukanlah disebabkan pihak pembangkang "menang", sebaliknya Umno dan Barisan Nasional "kalah".

Najib turut menempelak wakil rakyat yang tidak mahu menunjuk muka atau tidak dekat di hati rakyat.

"Tunjuklah muka pada rakyat, jangan tunjuk muka pada pemimpin. Saya dah lama berpolitik, saya tahu ada yang sanggup tunggu saya di lapangan terbang sebab nak salam dan tunjuk muka kat saya, tunjuk muka kat saya, buat apa?" kata Najib.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Najib ketika ditanya tentang pencapaian wakil rakyat BN, berkata semua wakil rakyat perlu bermuhasabah dari semasa ke semasa supaya mereka dapat memperbaiki kelemahan diri masing-masing.

"Saya tidak anggap semua orang termasuk diri saya tak boleh melakukan perkara ini sebab kita kalau kita lakukan perkara ini dengan jujur, parti kita lebih kukuh, lebih mantap dan kita akan jadi pemimpin yang lebih berkesan," katanya.

Najib berkata pada umumnya, pencapaian keseluruhan wakil rakyat BN adalah positif.

"Pada umumnya keadaan lebih positif, tapi tak boleh anggap bahawa kedudukan kita ini terlalu selesa, dalam politik segala kemungkinan boleh berlaku.

"Saya masih lagi percaya kita perlu beri tumpuan kepada kerja-kerja asas sebagai wakil rakyat, dan sebagai ahli parti, kalau, kita dapat lakukan segala-galanya yang disenangi rakyat saya percaya kita boleh berjaya," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan