Jumaat, Februari 05, 2010

"IANYA LEBIH KEPADA SOAL LAPORAN YANG TEPAT ATAU TIDAK DAN BUKANNYA LAPORAN PALSU. MAHKAMAH PERLU DIYAKINI BAHAWA PERBUATAN MENGHINA TELAH DILAKUKAN SEBELUM TINDAKAN DAPAT DIAMBIL,"

Anwar Mahu Utusan Malaysia Didakwa Hina Mahkamah

KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Pasukan pembelaan Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu agar Utusan Malaysia dikenakan tindakan menghina mahkamah berhubung laporan akhbar itu pada hari Khamis mengenai perbicaraan kes liwat melibatkan ketua pembangkang itu.

Peguam utama beliau, Karpal Singh, berkata mahkamah perlu bertindak dan merujuk akhbar itu dengan kesalahan menghina mahkamah walaupun ia berlaku di luar mahkamah.

Peguam Cara Negara II Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden bagaimanapun berkata apa yang berlaku hanyalah "laporan kurang tepat" tetapi Karpal Singh bertegas ia satu perbuatan menghina mahkamah.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah berkata kenyataan Karpal Singh mengenai pemilik akhbar itu adalah tidak wajar.

"Ianya lebih kepada soal laporan yang tepat atau tidak dan bukannya laporan palsu. Mahkamah perlu diyakini bahawa perbuatan menghina telah dilakukan sebelum tindakan dapat diambil," kata Hakim Mohamad Zabidin.

Perbicaraan ditangguhkan selama lima minit bagi membolehkan hakim membuat keputusan.

Apabila disambung semula, hakim Mohamad Zabidin memberitahu pasukan pembelaan Anwar supaya membuat laporan polis jika terdapat perbuatan menghina mahkamah.

Tajuk muka depan Utusan Malaysia hari ini berbunyi "Tak rela diliwat lagi", dengan terdapat gambar Anwar dan Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang mendakwa Anwar meliwatnya pada Julai 2008.

Sementara itu di Petaling Jaya malam ini, Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Jonson Kok Wei Chong membuat laporan polis terhadap Utusan Malaysia yang didakwanya telah menghina mahkamah kerana laporan fakta yang tidak tepat dan bercanggah dengan apa yang berlaku dalam perbicaraan.

Laporan polis itu dibuatnya di Balai Polis Tropicana pada pukul 8 malam.

Kok dalam laporan polisnya juga mendakwa akhbar itu "cuba menipu rakyat dengan menyiarkan artikel tersebut selain cuba mengambil kesempatan dengan mensensasikan kes itu untuk menarik perhatian umum."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan