Polis Ingatkan Orang Awam Jika Persoal Integriti Polis Tanpa Bukti
KOTA KINABALU, 2 Feb (Bernama) -- Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Noor Rashid Ibrahim hari ini mengingatkan orang awam bahawa pasukan itu tidak akan bertoleransi dengan sebarang cubaan merendah-rendahkan integriti pasukan itu melalui laman web atau penerbitan lain.
Beliau berkata penulisan yang disiarkan dalam blog atau mana-mana penerbitan perlu mengikut lunas undang-undang dan juga perlu disokong dengan fakta.
"Semua orang mempunyai hak untuk bercakap atau menulis mengenai semua perkara tetapi mesti mengikut lunas undang-undang.
"Saya, selaku ketua pasukan polis di Sabah, akan memastikan peraturan undang-undang dipatuhi oleh semua lapisan masyarakat.
"Dan undang-undang akan dikuatkuasakan secara adil, secara saksama dan berkesan," katanya pada sidang akhbar mengenai laporan polis yang dibuat terhadap beberapa artikel yang disiarkan dalam portal berita tempatan di sini Selasa.
"Jika laporan polis dibuat, tanggungjawab kami ialah menyiasatnya, mengumpulkan fakta, mendokumentasikannya dan menyerahkannya kepada pendakwa raya berserta cadangan kami bagi tindakan lanjut," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan