Selasa, Februari 16, 2010

"JELAS BAHAWA APA YANG BERLAKU DALAM PARTI ITU DISEBABKAN MASALAH YANG MEMBELENGGU MEREKA. IA TIADA KENA MENGENA DENGAN KITA (UMNO),"

Tidak Perlu UMNO Beritahu Rakyat Masalah Pembangkang - Shafie Apdal

KOTA KINABALU, 16 Feb (Bernama) -- UMNO dan parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain hanya perlu bekerja untuk rakyat dan bukannya membangkitkan dilema yang kini dihadapi oleh pembangkang, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata "keadaan rapuh" dalam kalangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan pakatan pembangkang bukanlah urusan UMNO.

"Adalah penting untuk kita menyampaikan... memberi khidmat terbaik kita kepada rakyat yang benar-benar memerlukan bantuan kita.

"Dengan cara itu, rakyat akan tahu bahawa kita adalah kerajaan yang mengambil berat kebajikan mereka, pemimpin rakyat yang boleh dipercayai dan dapat memberi khidmat terbaik tanpa perlu memberitahu mereka bahawa pembangkang tidak boleh dipercayai," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri jamuan malam sempena Tahun Baru Cina anjuran Gabungan Persatuan-persatuan Cina Sabah (FCAS) di sini Isnin malam.

Shafie, yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, diminta mengulas mengenai tindakan Anggota Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim yang keluar daripada PKR Jumaat lepas.

"Jelas bahawa apa yang berlaku dalam parti itu disebabkan masalah yang membelenggu mereka. Ia tiada kena mengena dengan kita (UMNO)," kata Shafie, sambil menambah Umno tidak pernah mempengaruhi anggota pembangkang supaya meninggalkan parti mereka.

"Setahu saya, Zahrain memutuskan untuk menjadi Anggota Parlimen Bebas di kawasan pilihan rayanya. Tiada sebarang tanda bahawa beliau akan menyertai Umno atau mana-mana parti komponen BN," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan