540 Pekebun Kecil Landau Dan Cenderamata Serah Memorandum Rayuan
TAWAU, 5 Jan (Bernama) -- Seramai 540 pekebun kecil Landau dan Cenderamata di sini menyerahkan memorandum kepada Jabatan Perhutanan Sabah meminta supaya kerajaan negeri menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka, yang meneroka hutan simpan kawasan berkenaan lebih 20 tahun lalu.
Memorandum itu diserahkan oleh wakil mereka Suratmin Janis kepada Jabatan Perhutanan Sabah selepas tamat satu majlis dialog oleh kedua-dua pihak, yang turut dihadiri presiden Majlis Perbandaran Tawau Ismail Mayakob, Ketua Polis Daerah Tawau ACP Ibrahim Chin dan wakil Jabatan Tanah dan Ukur di sini hari Selasa.
Antara kandungan memorandum itu termasuk memohon kepada kerajaan supaya mengeluarkan tanah seluas 8,000 ekar daripada taraf Hutan Simpan Kelas Satu kepada tanah perkebunan dan perkampungan rakyat.
Menurut memorandum itu, sekiranya kerajaan tidak dapat memenuhi tuntutan berkenaan, peneroka terbabit meminta kerajaan supaya memberikan mereka Permit Menduduki (OP) tanah itu untuk tempoh tertentu.
Sebagai contoh, mereka meminta tempoh menduduki selama 25 tahun untuk membolehkan mereka mengutip hasil buah kelapa sawit yang ditanam di tanah hutan simpan berkenaan untuk tempoh satu pusingan.
Pekebun kecil berkenaan juga memohon kepada kerajaan supaya membayar ganti rugi ke atas tanaman kelapa sawit yang sudah dimusnakan dan rumah pekebun yang sudah dirobohkan.
"Selepas itu (penuaian satu pusingan), penduduk kampung akan rela hati dan bersedia untuk meninggalkan tanah kawasan itu dan pihak Jabatan Hutan boleh mengambilnya semula, tak ada masalah," kata Suratmin kepada pemberita di sini.
Menurut Suratmin pekebun kecil berkenaan mula meneroka hutan simpan itu pada tahun 1983, dan sejak itu mereka menanam koko sebelum bertukar kepada tanaman kelapa sawit yang kini mula mengeluarkan hasil.
Katanya pekebun kecil yang terlibat merasa sedih kerana 300 ekar kebun kelapa sawit di kawasan itu sudah dimusnahkan pihak berkuasa Disember lalu tanpa memberi apa-apa notis kepada mereka terlebih dahulu.
"Kami penduduk kampung berharap Jabatan Perhutanan menangguhkan sementara kerja-kerja memusnakah kebun, sementara kami mengemukakan rayuan khususnya kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman untuk pertimbangan," katanya.
Sementara itu, aktivis masyarakat Datuk Patrick Sindu yang turut hadir dalam dialog berkenaan meminta kerajaan negeri supaya mencari penyelesaian jangka panjang kepada masalah itu memandangkan kes seumpamanya turut berlaku di banyak tempat di Sabah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan