Khamis, Januari 14, 2010

PROGRAM "TAWAN BORNEO" DI PERHEBATKAN BAGI MENARIK KEMASUKAN LEBIH RAMAI PELAJAR SABAH KE POLITEKNIK KOTA KINABALU

Politeknik Kota Kinabalu Perhebatkan Program "Tawan Borneo"

KOTA KINABALU, 13 Jan (Bernama) -- Politeknik Kota Kinabalu akan memperhebatkan program "Tawan Borneo" bagi menarik kemasukan lebih ramai pelajar Sabah ke institut itu, kata Pengarahnya Mustafar Kamar Ujang.

Katanya tumpuan program itu adalah untuk memberi penerangan tentang program pendidikan dan mempromosi politeknik tersebut di kalangan pelajar tingkatan lima yang tinggal di kawasan pedalaman di negeri itu.

Mustafar Kamar berkata mereka mensasarkan sekurang-kurangnya 40 peratus pelajar Sabah yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) setiap tahun dapat mengikuti pelbagai kursus diploma dan sijil yang ditawarkan oleh institut itu.

"Pensyarah politeknik akan turun ke kawasan pedalaman dan memberi penerangan kepada pelajar lepasan SPM untuk mengambil peluang melanjutkan pengajian di politeknik berkenaan," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian minggu suai kenal pelajar baru di kampusnya di Sepanggar, Menggatal, dekat sini, pada Rabu.

Seramai 1,333 pelajar lulusan SPM telah mendaftar untuk sesi pengajian yang telah bermula bulan ini.

Terdahulu, dalam ucapan perasmiannya, Pembantu Menteri Kewangan Negeri Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan berkata politeknik berkenaan telah memainkan peranan penting dalam melahirkan sumber tenaga kerja separa profesional yang berkualiti di negeri ini.

Beliau turut kagum dengan pencapaian politeknik itu yang berjaya melahirkan 8,402 graduan dalam bidang kejuruteraan, perdagangan dan bidang hospitaliti sejak mula beroperasi pada 1996.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan