Tingkap Gereja Di Rasah Pecah Akibat Dilempar Objek Keras
SEREMBAN, 16 Jan (Bernama) -- Polis percaya perbuatan seorang lelaki yang melempar objek keras ke tingkap Gereja Grace Global Prayer di Rasah di sini malam semalam yang menyebabkan kaca tingkap itu pecah merupakan perbuatan "nakal".
Ketua Polis Negeri Datuk Osman Salleh berkata jika lelaki itu berniat mahu melakukan serangan terhadap rumah ibadat itu, sudah pasti kerosakan yang dialami adalah besar.
Dalam kejadian 7.30 malam itu, kaca tingkap gereja yang terletak dalam sederet rumah kedai dua tingkat itu, pecah.
"Kita yakin akan dapat menangkap suspek kerana kita ada petunjuk selepas berjaya menemui seorang pengawal keselamatan yang terlihat perbuatan lelaki itu dari jauh," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri pada hari Sabtu.
Sementara itu, Setiausaha Gereja Grace Global Prayer David Raju ketika ditemui Bernama memberitahu, beliau hanya menyedari kejadian itu ketika datang ke gereja pada kira-kira 7.30 malam bersama isterinya.
"Selepas masuk dan pasang lampu, isteri saya melihat terdapat serpihan kaca dan tingkap gereja sebelah bawah sudah pecah," katanya.
Pada 11 Jan lepas, pintu Gereja Sidang Injil Borneo (SIB) di Seremban 2 dibakar pintunya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan