Penduduk Kg Ulu Tongod Minta Siasat Dakwa Tanah Berpindah Milik Kepada Individu Lain
BELURAN, 30 Jan (Bernama) -- Penduduk kampung Ulu Tongod di sini berada dalam keadaan dilema apabila tanah seluas 24 hektar yang mereka usahakan dengan tanaman kelapa sawit sejak 1995 didakwa telah berpindah milik kepada individu lain.
Wakil penduduk, Geriting Garudam berkata penduduk kampung telah menduduki tanah itu sejak 1970 dan permohonan pemilikan tanah itu telah dibuat sejak 1992 oleh 22 penduduk kampung kepada pejabat Jabatan Tanah dan Ukur Sabah di sini.
Penduduk kampung terbabit telah memungut hasil sejak lapan tahun lepas daripada tanaman kelapa sawit di tanah tersebut yang menjadi punca pendapatan utama mereka.
Katanya bagaimanapun baru-baru ini mereka terkejut apabila permohonan tanah itu diluluskan kepada individu lain membabitkan keluasan 18 hektar.
"Apa yang membuat penduduk kampung terkilan apabila mendapati permohonan individu terbabit dibuat pada 1997 selepas lima tahun permohonan awal dibuat oleh penduduk kampung pada 1992," katanya kepada Bernama selepas menemui anggota Parlimen Beluran Datuk Ronald Kiandee di sini Sabtu.
Geriting mendakwa individu terbabit tidak mengusahakan tanah itu sendiri sebaliknya menjualkannya kepada sebuah syarikat swasta.
Sementara itu, Ronald yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat meminta pihak Jabatan Tanah dan Ukur supaya menilai semula kelulusan tanah tersebut dan menjalankan siasatan sekiranya berlaku penyelewengan berhubung kelulusan permohonan tanah itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan