Selasa, Januari 19, 2010

NEGERI SEMBILAN: PIBG RM80

ABU SAMAH menunjukkan senarai bayaran persekolahan anaknya termasuk sumbangan PIBG sebanyak RM80 bagi setiap pelajar.

Keluarga pertikai setiap pelajar SMK Dato' Klana Putra diarah buat pembayaran

LENGGENG: Segelintir ibu bapa pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Klana Putra, di sini, yang kebanyakannya penduduk kampung, terkejut apabila terpaksa memberi sumbangan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang tinggi tahun ini.

Mereka mendakwa sumbangan PIBG tahun lalu hanya perlu dibayar oleh seorang anak dalam satu keluarga walaupun terdapat beberapa anak lain belajar di sekolah sama. Tahun ini, sumbangan PIBG sebanyak RM80 dikenakan bagi setiap pelajar dan bayangkan jika sesebuah keluarga mempunyai ramai anak yang bersekolah.

Ia menyebabkan sesetengah ibu bapa mengeluh kerana bayaran yang tinggi membebankan mereka yang kebanyakannya berpendapatan sederhana dan mempunyai bilangan anak ramai di sekolah sama.

Hasnul Hadi Mansor, 42, berkata setiap ibu bapa atau penjaga perlu membayar sumbangan PIBG sebanyak RM80 bagi setiap seorang anak yang bersekolah dan ini belum termasuk yuran persekolahan lain.

Dia mendakwa pelbagai alasan diberikan oleh guru sekolah apabila diminta mengemukakan resit pembayaran yuran persekolahan untuk anaknya yang belajar di Tingkatan Dua, manakala seorang lagi anak di Tingkatan Satu sudah mendapat resit.

HASNUL HADI kesal SMK Dato' Klana Putra tidak prihatin masalah ibu bapa pelajar.

Pengawal keselamatan, Abu Samah Salim, berkata peraturan baru sumbangan PIBG tahun ini membebankannya yang mempunyai empat anak belajar di sekolah itu.

"Sumbangan PIBG sebanyak RM80 yang dikenakan oleh sekolah adalah tinggi kerana saya terpaksa membayar RM320 untuk empat anak di Tingkatan Satu, Dua, Tiga dan Lima," katanya.

Beliau berharap pihak sekolah dapat mengkaji semula sumbangan PIBG yang dikenakan terhadap ibu bapa dan mengekalkan peraturan lama, iaitu hanya seorang anak membayar yuran.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Negeri Sembilan, Datuk Abdullah Muhammad, ketika dihubungi berkata, sebelum sesuatu keputusan dilaksanakan, sekolah perlu mendapatkan persetujuan PIBG sekolah terbabit.

"Selepas persetujuan dicapai dalam mesyuarat PIBG, barulah sekolah boleh membuat kutipan sumbangan berdasarkan keputusan ditetapkan," katanya.

Beliau menasihat ibu bapa dan penjaga pelajar sekolah terbabit menghubungi pengetua sekolah bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

Pengetua SMK Dato' Klana Putra ketika dihubungi enggan mengulas lanjut dan meminta ibu bapa datang ke sekolah untuk mendapatkan penjelasan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan