Jumaat, Januari 22, 2010

MUZAKARAH PAKAR BERSETUJU BAHAWA PENGGUNAAN KALIMAH ALLAH SEBAGAI TERJEMAHAN ATAU GANTI NAMA KEPADA "GOD" ADALAH TIDAK TEPAT

Muzakarah Pakar Setuju Kalimah Allah Sebagai Terjemahan Kepada God Tidak Tepat

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Muzakarah Pakar, yang disertai tujuh ilmuwan Islam, anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Khamis bersetuju bahawa penggunaan kalimah Allah sebagai terjemahan atau ganti nama kepada "God" adalah tidak tepat.

Pengerusi IKIM Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata muzakarah itu merumuskan bahawa terjemahan kalimah Allah sebagai "God" juga menyalahi hakikat sebenar kerana bercanggah dengan konsep Tuhan yang dianjurkan oleh agama Islam di Malaysia.

"Dalam perbincangan ini, kita semua setuju bahawasanya kita perlu menghormati dan menjunjung Perlembagaan Malaysia yang memberikan kebebasan beragama diteruskan dalam suasana aman dan harmoni," katanya pada sidang akhbar selepas muzakarah itu.

imageTujuh pakar itu ialah Prof Madya Dr Kamar Oniah Kamaruzzaman dari Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa; Penasihat Agama kepada Perdana Menteri Datuk Dr Abdullah Md Zin; Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang;  anggota Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dr Mohd Nur Manuty; bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin; Pengarah Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan IKIM Dr Mohd Sani Badron dan Felo Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik IKIM Md Asham Ahmad.

Muzakarah bertajuk "Terjemahan God Sebagai Allah: Mengenalpasti Punca Permasalahan dan Penyelesaiannya" berlangsung selama lapan jam dari pukul 8.30 pagi, dipengerusikan Ketua Pengarah IKIM Datuk Nik Mustapha Nik Hassan.

Abdullah berkata muzakarah itu berjaya mencapai matlamat penganjurannya iaitu mengenal pasti punca dan penjelasan latar belakang permasalahan daripada perspektif agama, bahasa, sosial dan undang-undang.

"Muzakarah ini juga dapat menegaskan kefahaman dan konteks penggunaan Allah dalam Al-Quran, memurnikan tafsiran ke atas sumber-sumber hukum Islam berkaitan kebenaran penggunaan kalimah Allah oleh agama dan budaya selain Islam dan membentuk kesatuan fikiran di kalangan tokoh agama serta pemimpin umat Islam," katanya.

Abdullah berkata pendirian muzakarah itu akan dibawa kepada perhatian kerajaan dan akan dibincangkan dalam siri muzakarah akan datang bertajuk "Mengurus Krisis Antara Agama" anjuran IKIM pada 25 Jan ini.

Beliau berkata muzakarah yang membabitkan semua pemimpin agama serta Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST) bertujuan mengenalpasti krisis, jalan penyelesaian dan mencari persefahaman untuk keharmonian semua kaum di negara ini.

Abdullah berkata IKIM berharap agar semua penganut agama menghormati batas-batas agama masing-masing agar tidak berlaku lagi kekecohan seperti yang berlaku pada masa ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan