Syor mesyuarat 'town hall' di setiap negeri
KUALA LUMPUR: Persatuan Penggerak Pembangunan Komuniti Malaysia (Komuniti Malaysia) mencadangkan kerajaan mengadakan mesyuarat ‘town hall’ di setiap negeri bagi membolehkan Perdana Menteri mendengar sendiri hasrat rakyat berhubung GTP dan NKRA.
Sambil menyifatkan pembabitan rakyat dalam proses membuat keputusan sebagai langkah ke depan, Presidennya, Norizan Sharif, berkata rakyat akan lebih memahami bahawa kerajaan benar-benar ingin mendengar pendapat dan hasrat mereka dalam enam bidang NKRA.
“Kerajaan juga dicadangkan untuk memberi tumpuan kepada program bersifat ‘touch point’ atau menyentuh rakyat secara langsung walaupun mungkin kecil tetapi memberi kesan yang besar pada mereka bagi membolehkan kesan GTP dan NKRA dirasai.
“Keputusan akhir akan diberikan rakyat yang merasai impak inisiatif. Inilah keputusan kad laporan sebenar pencapai GTP dan NKRA, bukannya laporan berwarna warni disediakan perunding,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan pelancaran pelan induk GTP itu yang disifatkan kaedah terbaik dalam membabitkan rakyat dalam proses membuat keputusan dengan meminta pandangan rakyat melalui ‘road show’ dan laman web GTP.
Bagaimanapun, katanya, kejayaan GTP bukanlah pada angka atau gambar yang dipamerkan dalam ‘road show’ di negeri saja, tetap lebih penting kesannya kepada rakyat.
Beliau berkata, sekiranya pelaksanaan GTP dapat dilakukan dengan berkesan, rakyat akan faham bahawa kerajaan benar-benar mahu mendengar pendapat dan pandangan mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan