Khamis, Januari 14, 2010

JAWATANKUASA KABINET MENGENAI PEKERJA ASING AKAN BERMESYUARAT PADA 19 JAN INI BAGI MEMBINCANGKAN SECARA TERPERINCI MASALAH BERHUBUNG PEKERJA ASING TANPA IZIN DAN PELAJAR ASING YANG MENYALAHGUNAKAN PAS PELAJAR,

Jawantankuasa Kabinet Bincang Masalah Pekerja Asing Tanpa Izin Pada 19 Jan

KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing akan bermesyuarat pada 19 Jan ini bagi membincangkan secara terperinci masalah berhubung pekerja asing tanpa izin dan pelajar asing yang menyalahgunakan pas pelajar, kata Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Mahmood Adam hari Khamis.

Jawatankuasa itu, yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, akan meneliti segala kelemahan yang dieksploitasi oleh pendatang asing untuk tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan atau bagi menjalankan kegiatan haram, katanya dalam satu perbincangan dengan para editor kanan media di sini.

Mahmood berkata bahawa kerajaan menyedari mengenai isu itu dan akan mengambil pendekatan bersepadu dan holistik kepada masalah itu termasuk mengetatkan prosedur kemasukan.

Sebagai contoh, beliau berkata kerajaan perlu meneliti semula program visa sebaik ketibaan, yang bermatlamat untuk menarik lebih ramai pelancong asing, memandangkan banyak pelawat telah menyalahgunakan keistimewaan itu.

Beliau juga berkata kebiasaannya para pelajar asing yang ditaja oleh kerajaan masing-masing untuk melanjutkan pengajian di Malaysia tidak menimbulkan masalah.

"Kebiasaannya, yang bermasalah adalah mereka yang datang (dari negara-negara tertentu) atas perbelanjaan sendiri untuk belajar di kolej-kolej swasta," katanya.

Para pelajar asing ini kerap kali ditahan kerana menjual dadah dan menipu orang ramai terutama dalam memalsukan mata wang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan