Bank Labuan Dibenar Ke Bahagian Lain Dalam Negara
LABUAN, 19 Jan (Bernama) -- Bank-bank Labuan diberikan kelonggaran tambahan untuk mewujudkan pejabat mereka di bahagian lain di Malaysia selain pejabat di Labuan berkuat kuasa serta merta.
Dalam satu kenyataan di sini Selasa, Lembaga Perkhidmatan Kewangan Luar Pesisir Labuan (Lofsa) berkata dasar yang diperkenalkan baru-baru ini merupakan pengembangan daripada inisiatif yang diperkenalkan pada Mei 2009 yang membolehkan syarikat pemegangan Labuan menubuhkan pejabat operasi dan pengurusan mereka di Kuala Lumpur.
"Ini juga merupakan sebahagian daripada pakej liberalisasi kewangan yang diumumkan Perdana Menteri pada April 2009," katanya.
Menurut Lofsa, dasar itu akan menyediakan peluang kepada bank-bank untuk menubuhkan operasi mereka di Kuala Lumpur dan bahagian lain dalam negara.
"Ia juga bermatlamat untuk menarik lebih banyak bank antarabangsa memilih Pusat Kewangan Perniagaan Antarabangsa Labuan sebagai pangkalan mereka untuk operasi serantau serta memanfaatkan tawaran kemudahan, modal insan, perkhidmatan dan infrastruktur kelas pertama yang ada di Malaysia," katanya.
Menurutnya, antara kriteria bagi penubuhan pejabat di luar Labuan ialah permohonan perlu dikemukakan kepada Lofsa sebelum penubuhannya dan pemohon perlu terus mempunyai pejabat di Labuan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan