KUALA LUMPUR, 8 Dis (Bernama) -- Wanita yang mahu kelihatan muda, jelita serta menikmati kekayaan antara yang sering mendapatkan khidmat bomoh walaupun perkhidmatan yang diberikan langsung tidak berkesan malah ramai yang ditipu dan diperkosa.
Ketua Biro Aduan dan Khidmat Awam MCA Datuk Michael Chong berkata bagi tahun ini sahaja, biro itu menerima aduan 17 kes membabitkan bomoh yang menipu sejumlah RM433,000 selain mencabul kehormatan mangsa berbanding lapan kes melibatkan RM260,000 tahun lepas.
Katanya satu daripada aduan itu diterima dari gadis berusia 21 tahun yang menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi swasta yang mendakwa menjadi hamba seks seorang bomoh lelaki terkenal.
Penuntut itu mendakwa dia berjumpa dengan bomoh berkenaan bagi mengubah nasib buruknya dan bomoh itu menyatakan keadaan dirinya hanya boleh diperbaiki dengan mengadakan hubungan seks dengannya.
Penuntut itu bersetuju untuk menjalinkan hubungan seks dengan bomoh berkenaan sebanyak 12 kali dan akibatnya, dia kini dijangkiti penyakit kelamin, kata Chong.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan