TAIPEI 7 Dis. - Populariti ketua pembangkang Taiwan yang anti-China melonjak ke paras baru selepas parti pimpinannya memenangi pilihan raya tempatan semalam, menurut satu tinjauan pendapat.
Akhbar United Daily News melaporkan, Tsai Ing-wen, ketua Parti Progresif Demokratik (DPP) dan kemungkinan menjadi calon Presiden pada pilihan raya pada 2012 nanti, mendapat 43 peratus sokongan rakyat negara pulau ini berbanding hanya 27 peratus pada Mei lalu.
Laporan itu menyatakan bahawa tinjauan pendapat ke atas 1,066 responden yang dijalankan semalam, selepas DPP berjaya menguasai lebih banyak kawasan dalam pilihan raya kecil. Parti pemerintah, Koumintang (KMT), kehilangan dua daerah.
Presiden Ma Ying-jeou mendapat 33 peratus sokongan berbanding 52 peratus pada Mei lalu.
Pilihan raya itu dilihat sebagai ujian pertengahan penggal terhadap pemerintahan Ying-jeou sejak 19 bulan beliau berkuasa.
Tinjauan pendapat itu menyatakan bahawa pengundi telah menghukum KMT atas beberapa sebab, termasuk tindakan kerajaan mengusahakan perjanjian perdagangan kontroversi dengan China.
DPP memperjuangkan kemerdekaan Taiwan dari China, manakala Beijing menganggap negara pulau ini sebagai wilayahnya. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan