Imigresen Sarawak Tahan 164 Pati Di Tapak Pembinaan
Jabatan Imigresen Sarawak Khamis berjaya menahan 164 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dipercayai bekerja sebagai buruh di sebuah tapak pembinaan di Jalan Penrissen di sini.
Kenyataan jabatan itu menyebut dalam operasi 1.40 pagi itu, kumpulan PATI termasuk 13 wanita warga Indonesia itu ditahan di dua buah rumah kongsi berasingan di tapak pembinaan tersebut.
"Bertindak atas aduan dan maklumat orang ramai, seramai 78 anggota Jabatan Imigresen Sarawak telah membuat serbuan di tapak pembinaan tersebut," katanya.
Jabatan itu berkata buruh binaan tersebut telah melanggar Akta Imigresen 1959/63 Pindaan 2002 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu tinggal lebih masa, tidak memiliki dokumen pengenalan diri, permit kerja yang sah dan melanggar syarat pas lawatan.
----
Imigresen Johor Tahan 306 Pati Di Tapak Pembinaan Ibu Pejabat Polis
Jabatan Imigresen Johor menahan seramai 306 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang bekerja sebagai buruh di tapak pembinaan Ibu Pejabat Polis (IPD) Seri Alam, di Jalan Rimba dekat Masai, di sini, hari Khamis.
Dalam serbuan "Ops Kutip" selama dua jam mulai 10.30 pagi itu, mereka yang ditahan merupakan warga Indonesia, Myanmar, Nepal dan Bangladesh.
Penolong Pengarah Jabatan Imigresen Johor (Bahagian Penguatkuasaan) Masri Adul berkata buruh binaan berkenaan telah melakukan pelbagai kesalahan termasuk memiliki dokumen perjalanan palsu, menyalahgunakan pas lawatan dan tiada dokumen pengenalan diri.
Serbuan di tapak pembinaan itu yang membabitkan 128 anggota jabatan itu, adalah pertama sejak projek pembinaan IPD itu dimulakan setahun lepas, katanya ketika dihubungi di sini.
Masri berkata adalah antara buruh tersebut cuba menggunakan batang kayu untuk menakutkan anggota Imigresen yang cuba menahan mereka tetapi tiada sebarang kecederaan dilaporkan.
Katanya kesemua PATI itu dihantar ke Depoh Tahanan Pekan Nenas, Pontian, untuk proses penghantaran balik ke negara asal masing-masing.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan