Rabu, November 11, 2009

KEMENTERIAN PENGANGKUTAN BERI PENJELASAN ISU PEMBELIAN TREN DMU

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan menjelaskan bahawa pembelian tren komuter DMU (Diesel Multiple Units) terpakai bernilai RM30 juta berbanding RM10 juta yang dibeli oleh Costa Rica dan Argentina seperti yang dilaporkan dalam akhbar Rabu adalah tidak tepat sama sekali.

Menurut kenyataan kementerian hari ini, harga sebenar perolehan DMU terpakai oleh kerajaan Malaysia ialah EURO 1.492 juta (kira-kira RM7,571,201) bagi setiap set yang mengandungi dua koc penumpang manakala pembelian oleh Costa Rica adalah bernilai EURO 2.0 juta (kira-kira RM10,149,063) untuk set yang sama. (1 EURO = RM5.0745)

Harga sebenar bagi pembelian empat set DMU terpakai ialah RM33.5 juta (kira-kira EURO 6.6 juta) dan ia dibuat bagi menampung keperluan yang mendesak untuk perkhidmatan komuter di Lembah Klang.

"Kementerian menganggap perkara yang dibangkitkan oleh Anggota-anggota Parlimen seperti yang dilaporkan dalam media berkaitan dengan kos pembelian DMU adalah tidak tepat," menurut kenyataan itu.

Akhbar hari ini melaporkan bahawa Kementerian Pengangkutan menjadi tumpuan perbahasan di Dewan Rakyat semalam apabila beberapa anggota Parlimen menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat pembelian tren komuter DMU terpakai berusia 20 tahun bernilai RM30 juta tidak masuk akal.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan