Jumaat, November 27, 2009

CUKAI GST AKAN MENJADI BEBAN TAMBAHAN KEPADA RAKYAT ?

GST Boleh Dilaksana Kerana Cukai Jualan Dan Perkhidmatan Dihapuskan

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) boleh dilaksanakan memandangkan cukai perkhidmatan dan jualan yang ada sekarang akan dihapuskan, kata ahli ekonomi kanan (penyelidikan ekonomi) Kumpulan AmInvestment Bank, Manokaran Mottain.

"GST boleh diterima oleh rakyat Malaysia jika ia dilaksanakan dengan pengurangan cukai individu, memandangkan GST akan menjadi beban tambahan kepada pembayar cukai," katanya kepada Bernama Khamis semasa mengulas mengenai Rang Undang-undang GST.

Beliau berkata pelaksanaan struktur baharu cukai itu sebaik-baiknya pada 2011 atau 2012 kerana sekiranya dilaksanakan lebih awal, orang ramai tidak bersedia.

Pada Isnin semasa di New York, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Rang Undang-undang berhubung pengenalan GST akan dibentangkan untuk bacaan pertama pada akhir sidang semasa Dewan Rakyat.

Sementara itu, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, hari ini berkata kerajaan merancang mengenakan GST pada kadar empat peratus.

Katanya kerajaan menjangka pendapatan tahunan meningkat RM1 bilion, setahun lepas GST diperkenalkan.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Inter-Pacific Securities Sdn Bhd Anthony Dass, berkata cadangan empat peratus bagi GST itu tidak akan membebankan rakyat.

"Ia satu langkah yang baik dan positif, tetapi bagaimanakah kerajaan akan melaksanakannya?" katanya.

Semasa memberi contoh, Dass berkata, kerajaan Singapura mengurangkan cukai pendapatan dan korporat setelah memperkenalkan GST di tahun pertama.

Katanya langkah seumpama itu boleh dicontohi di Malaysia supaya dapat memanfaatkan kumpulan berpendapatan rendah dan korporat.

Beliau berkata kerajaan perlu mengadakan penerangan agresif bagi mempromosikan GST.

1 ulasan:

  1. GST hanya wajar dikenakan pada barangan mewah bukan barang keperluan asas.

    BalasPadam