Percuma untuk kutu rayau
Oleh JAGATHESWARY NARAYANAN
n.jagatheswary@kosmo.com.my
Pusat Perkhidmatan Komuniti Grace memastikan hidangan yang diberi itu benar-benar dinikmati oleh golongan miskin termasuk warga emas, orang kurang upaya dan pengemis.
"AMOI, sudah lambatlah... aku nak pergi car park dekat Puduraya. Di sana pun, ada orang kasi makan. Sorry…ya...," Itu adalah salam perkenalan yang keluar dari mulut seorang wanita Cina sewaktu saya menghampirinya. Langsung tidak berpaling muka, tangannya pantas meletakkan bekas polisterin dan sebiji pisang ke dalam beg pakaiannya.
Tanpa mempedulikan kehadiran kami, dia terus sibuk mengemas beg. Jadualnya pada hari itu agak padat. Dia perlu bergegas ke destinasi seterusnya yang terletak berhampiran perhentian bas paling sesak di ibu negara.
Sambil membetulkan cermin mata yang duduk selesa di atas batang hidungnya, wanita berusia lebih separuh abad itu dilihat mengangkat begnya. Ia sekali gus memberi isyarat bahawa dia sudah bersedia untuk ditemubual buat seketika.
Dikenali sebagai Chia Nyok Yon, 47, dia merupakan antara golongan yang merempat di sekitar ibu kota. Tidak ada tempat untuk berlindung dan berlapar sepanjang hari sebelum dapat menjamah nasi percuma bukanlah perkara baru baginya.
Tidak sukar untuk melihat ratusan insan terbiar seperti Chia di sekitar ibu kota. Tidak percaya, pergi sahaja ke Puduraya, Chow Kit, Jalan Petaling dan Hentian Bas Klang yang menjadi lokasi kegemaran mereka.
Menerima pelbagai jolokan seperti pengemis, kutu rayau dan penagih dadah, kewujudan kelompok itu sememangnya mencalit sedikit rona hitam di sebalik pembangunan pesat Kuala Lumpur.
Sungguhpun begitu, membiarkan mereka mengemis atau merempat di jalanan tidak akan memberi sebarang manfaat. Maka, tidak hairanlah jika beberapa badan bukan kerajaan yang terdiri daripada pengendali rumah kebajikan, pusat komuniti, dan pihak pengurusan tempat ibadah tampil membantu golongan tersebut.
PUSAT Perkhidmatan Komuniti Grace menjadi tumpuan warga kota yang miskin, tidak mempunyai pekerjaan, kutu rayau dan penagih dadah untuk mendapatkan makanan percuma.
Lazimnya, apa yang dilakukan oleh pihak-pihak tersebut adalah menyediakan makanan percuma. Nyok Yon yang ditemui Kosmo!sebenarnya merupakan salah seorang 'pelanggan tetap' yang berkunjung ke pusat itu untuk menerima makanan.
Dianjurkan oleh Pusat Perkhidmatan Komuniti Grace (Grace Community Services Centre) yang terletak di Jalan Medan Bunus off Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, sesi mengagihkan makanan percuma itu bermula pada pukul 5 hingga 6 petang pada setiap hari Ahad.
"Saya akan datang sejam lebih awal. Ambil tiket khas dan dapatkan makanan percuma. Tidak payah beratur lama dan ikut giliran.
"Kalau lambat..., tak sempat pula hendak pergi ambil makanan di tempat lain," katanya.
Nyok Yon mengaku, dia mempunyai satu jadual khas mengenai lokasi-lokasi yang memberi makanan percuma. Antaranya adalah tempat letak kereta berhampiran perhentian bas Puduraya, Jalan Petaling dan kuil dekat Hentian Bas Klang.
Berhijrah dari Johor Bahru kira-kira lima bulan lalu, Nyok Yon pada awalnya berharap dapat bekerja untuk menyara hidup kerana dipinggirkan keluarga sendiri. Tetapi faktor usia yang semakin lanjut menghalangnya untuk mendapat kerja yang sesuai.
Dua bulan lalu, dia sempat bekerja di sebuah restoran sebagai tukang cuci pinggan. Malangnya, tidak lama kemudian, dia diberhentikan kerana pemilik restoran mahu mengurangkan bilangan pekerja.
SEORANG warga emas menikmati makanan yang diterimanya.
Terdesak, Nyok Yon terpaksa berlindung di bawah bumbung Puduraya yang hakikatnya sudah menjadi 'hotel' sementara buat golongan sepertinya. Di situ jugalah, dia menerima khabar mengenai pengagihan makanan percuma di sekitar ibu kota. Sejak itu, dia mula mencari tempat-tempat tersebut bagi meneruskan hidup.
"Banyak orang sediakan makanan. Jadi, saya tidak perlu runsing untuk membeli makanan setiap hari. Hari Isnin sampai Jumaat, saya akan berjalan sekitar Pasar Seni untuk mendapatkan makanan percuma.
"Boleh tahan juga makanannya. Menunya? Ada kari ayam, sambal sotong, ikan goreng dan banyak lagi," tambahnya tersenyum.
Selagi ada pihak tampil menyalurkan makanan, Nyok Yon yakin dia masih boleh meneruskan kehidupan walaupun tidak mempunyai pekerjaan dan tempat tinggal tetap di ibu kota.
Dalam pada itu, jarum jam sudah menunjukkan pukul 6 petang. Wanita bertubuh kecil itu kemudiannya bingkas bangun, menggendong beg pakaian berwarna hitam dan beberapa beg plastik lain. Selepas meminta diri, Nyok Yon melangkah laju. Dia tidak mahu terlepas makan malamnya.
GOLONGAN seperti ini mendapat manfaat daripada aktiviti amal yang dijalankan oleh pihak tertentu di sekitar ibu kota.
Di celah-celah kesibukan itu, saya dapat melihat kesibukan di pusat tersebut yang dikunjungi oleh pelbagai kaum. Ada yang sudah kenal antara satu sama lain. Mereka rancak bersembang sambil bergurau senda. Ada pula yang duduk sendiri menikmati sajian nasi dengan sambal sotong, sayur campur serta sebiji pisang yang dihulurkan.
Saya asyik memerhatikan gelagat mereka. Ada juga yang malu-malu, enggan melayan dan memberi 'amaran' supaya gambar mereka tidak dirakam oleh lensa Kosmo! ketika mengambil makanan atau menikmati hidangan.
Tiba-tiba, tanpa diminta salah seorang penerima makanan percuma yang hanya mahu dikenali sebagai Paul mula bercerita tentang perjalanan hidupnya yang sukar.
Baginya, nasi dengan sambal sotong, kari ayam, sayuran dan minuman Milo sudah cukup untuk menceriakannya pada hari itu.
"Kalau beli lauk yang sama di restoran, harganya mestilah mahal. Saya bukannya ada duit nak beli makanan. Baguslah, ada makanan percuma macam ini. Saya sudah lapan tahun menagih dadah dan tiada kerja. Hari ini dapat makan, esok kena cari makan di tempat lain pula.
"Adakala menunya bertukar. Dapat juga, saya merasa ikan goreng, telur rebus dan ikan masin. Biar apa pun sajiannya, saya tidak peduli asalkan perut dapat diisi," ujar Paul yang enggan dirakam gambarnya kerana khuatir diketahui keluarganya yang berada di Pulau Pinang.
Paul berkata, dia sudah arif untuk mencari lokasi pemberian makanan percuma yang dikendalikan oleh persatuan atau kumpulan agama pada hari-hari lain.
MINUMAN Milo dan pisang, antara menu makanan percuma.
Selain Pusat Perkhidmatan Komuniti Grace, ada persatuan lain yang turut mengagihkan makanan percuma secara bergerak. Biasanya, mereka akan singgah di lokasi-lokasi yang kerap dikunjungi oleh golongan sepertinya.
Lain pula kisah Mamat Parit, 23. Walaupun mempunyai pekerjaan tetap di sebuah hotel lima bintang di Sentral Kuala Lumpur, Mamat mengakui, dia sering berkunjung ke pusat itu untuk mendapatkan makanan percuma.
"Sejak tahun lalu, saya datang ke sini pada setiap hujung minggu untuk mendapatkan makanan percuma. Dengan cara itu, saya dapat menjimatkan wang membeli makanan. Lagipun, gaji saya hanya cukup-cukup untuk membayar sewa rumah," akui Mamat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan