Isnin, Ogos 31, 2009

PERGIATKAN PERLAKSANAAN KEMUDAHAN ASAS LUAR BANDAR DALAM RMK-10

Kemudahan Asas Di Luar Bandar Dipergiatkan Dalam RMK-10

TUARAN, 28 Ogos (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah akan memastikan pelaksanaan penyediaan kemudahan asas di kawasan luar bandar, terutama di Sabah dan Sarawak, akan dipergiatkan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Menterinya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata penyediaan kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air dan jalan raya perlu dipertingkatkan di kawasan itu bagi mencerminkan hasrat kerajaan iaitu rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan melalui konsep 1Malaysia.

"Ini adalah agenda utama kerajaan dengan mendahulukan rakyat tanpa mengira mereka itu siapa. Asalkan mereka memerlukan perubahan, maka pembangunan kepada mereka harus didahulukan," katanya pada Majlis Berbuka Puasa Khas Seluruh Bahagian Umno Negeri di Masjid An-Nur di sini hari ini.

Shafie, yang juga Naib Presiden Umno, berkata kementeriannya sedang giat mengenalpasti kawasan yang masih menghadapi kekurangan dari segi kemudahan asas bagi memastikan pelaksanaan penyediaan kemudahan itu dipercepatkan agar kadar kemiskinan di negara ini dapat dikurangkan dengan segera.

"Diharap konsep 1Malaysia yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dapat membawa perubahan yang besar kepada penduduk luar bandar," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan