Jumaat, Julai 17, 2009

TAWAU BERPOTENSI JANA TENAGA ELEKTRIK BERASASKAN GEOTERMAL

TAWAU, 17 Julai (Bernama) -- Tawau berpotensi untuk membangun penjanaan tenaga elektrik berasaskan geotermal berikutan penemuan kawasan geotermal di Apas, kira-kira 40 kilometer dari sini, kata Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Tan Sri Joseph Kurup.

Beliau berkata dari kajian yang dijalankan oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia setakat ini, mendapati ia berpotensi menjana sehingga 67 megawatt sehari dan mampu memenuhi keperluan bekalan tenaga di Tawau.

"Tempat ini begitu unik bagi negeri Sabah. Bagaimanapun pada masa ini kerajaan masih meneruskan kajian dan akan menyediakan peruntukan secukupnya untuk tujuan ini bagi membolehkan kajian dilaksanakan sepenuhnya," katanya kepada pemberita semasa melawat kawasan geotermal berkenaan.

Menurut Kurup, kajian dijalankan di kawasan seluas kira-kira 50 kilometer persegi sejak dua tahun lalu.

"Para pengkaji menemui takungan air panas pada kedalaman antara 2,000 hingga 3,000 meter di bawah perut bumi dengan kapanasan antara 220 hingga 236 darjah Celcius, jauh melebihi darjah kepanasan yang diperlukan untuk penjanaan kuasa elektrik cara itu.

Kurup bagaimanapun berkata masa yang akan diambil untuk melaksanakan projek penjanaan tenaga berasaskan kuasa geotermal bergantung kepada pencapaian kajian serta urusan lain dengan kerajaan negeri.

"Banyak lagi perkara yang perlu kita selesaikan termasuk perundingan dengan kerajaan negeri Sabah kerana tanah adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Lagipun kawasan ini termasuk dalam kawasan Taman-Taman Sabah dan dipelihara," katanya.

Katanya dalam Rancangan Malaysia Kesembilan kerajaan memperuntukkan RM1.5 juta untuk kerja-kerja penyelidikan di tapak itu dan berharap kerja penggerudian dapat dimulakan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh.

Penjanaan tenaga elektrik menggunakan geotermal dianggap bukan sahaja menjimatkan kos tetapi lebih mesra alam berbanding kaedah penjanaan berasaskan bahan bakar lain.

Antara negara yang menjana kuasa elektrik menggunakan kaedah geotermal pada masa ini ialah Amerika Syarikat, El Salvador, Kenya, Filipina, Iceland dan Costa Rica.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan