CIMB Group berminat untuk turut merebut peluang menjadi pengurus penyenaraian Maxis Communications Bhd jika syarikat itu memutuskan disenaraikan semula di Bursa Malaysia.
Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Nazir Razak, berkata ia penting bagi meluaskan lagi skop pengurusan bank pelaburan kumpulan, CIMB Investment Bank Bhd, kerana penyenaraian Maxis jika dilaksanakan bakal menjadi antara tawaran awam permulaan (IPO) terbesar di rantau ini tahun ini.
“Jika ada mandat sedemikian, kami akan cuba mendapatkannya dan saya pasti setiap peserta perbankan lain turut berminat mendapatkannya.
“Jika menjadi kenyataan, penyenaraian Maxis akan menjadi IPO terbesar di rantau ini dan transaksi ekuiti paling penting di Asia Pasifik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang kempen ‘Dream Deposit Drive - Back Again!’ CIMB Bank, di Kuala Lumpur, semalam.
Penganalisis menganggarkan permodalan pasaran Maxis bernilai antara RM31 bilion sehingga RM40 bilion, berdasarkan aset yang meliputi prasarana telekomunikasi mudah alih dan bilangan pelanggan.
Dengan nilai itu, Maxis bakal menjadi antara lima saham utama di Bursa Malaysia sebaris Bumiputra-Commerce Bhd dan Tenaga Nasional Bhd yang mana masing-masing bernilai RM36.5 bilion dan RM35.3 bilion.
Minggu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata ia telah mencadangkan kepada Maxis supaya menimbang untuk disenaraikan semula bagi membantu usaha kerajaan menarik lebih ramai pelabur institusi asing dan menambah kecairan ke dalam bursa tempatan.
Maxis yang disenaraikan di Bursa Malaysia pada 2002, dijadikan sebuah syarikat persendirian oleh Binariang GSM Sdn Bhd pada Julai 2007 membabitkan RM16 bilion. Ananda memegang 75 peratus ekuiti Binariang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan