KUALA LUMPUR, 14 Julai (Bernama) -- Anak lelaki Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Koh Hong Sun maut setelah terperangkap dalam kebakaran di kondominium milik pegawai kanan polis itu di Mont Kiara pagi Selasa.
Mayat Koh Keat Lee, 22, ditemui di balkoni unit kondominium tingkat 32, Mont Kiara Bayu Kondominium di Jalan Kiara 2, di sini dalam keadaan melecur seluruh badan.
Punca kebakaran, yang berlaku kira-kira 9.30 pagi itu, masih tidak diketahui.
Ketika kejadian, bapa mangsa tidak berada di kediaman tersebut kerana sedang bertugas.
Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar yang berada di tempat kejadian mengesahkan mangsa korban insiden itu ialah anak lelaki Koh selain merakamkan ucapan takziah kepada Koh.
"Mangsa kini dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat," katanya.
Enam jentera bomba iaitu dari Balai Sentul, Hang Tuah dan Segambut berada di lokasi kejadian bagi memadamkan api.
Menurut seorang saksi (wanita) yang enggan dikenali berkata beliau melihat seorang lelaki berdiri di balkoni sebuah rumah di tingkat 32 itu sambil menjerit meminta tolong.
"Saya dengar dia jerit minta tolong setelah terperangkap di dalam rumah itu," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Beliau yang tinggal di blok berhadapan dengan blok rumah mangsa kemudiannya turun dari unitnya untuk memaklumkan tentang insiden itu serta mendapatkan bantuan dari pihak keselamatan kondomonium tersebut.
Seorang lagi saksi, wanita Thailand dalam lingkungan 20-an berkata beliau terdengar bunyi letupan yang kuat dari atas rumah majikannya.
Dia yang baru 10 hari bekerja sebagai pembantu rumah, tinggal di tingkat 29 daripada 40 tingkat bangunan tersebut.
Katanya sebaik melihat api dan asap, beliau terus lari keluar dan turut menyelamatkan diri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan