BEIJING 3 Jun - Pihak berkuasa China menutup blog, forum Internet dan laman media sosial seperti Twitter dalam usaha untuk menyekat perbincangan politik di ruang siber menjelang hari ulang tahun ke-20 protes prodemokrasi di Dataran Tiananmen, esok.
Penutupan laman-laman Internet menandakan babak baru dalam percubaan pihak berkuasa untuk menutup mulut penentang kerajaan komunis itu.
Langkah itu juga menunjukkan semakin berpengaruhnya teknologi sedemikian di kalangan golongan muda China dalam sebuah masyarakat autoritarian yang mengawal penyaluran maklumat dengan begitu ketat.
China mempunyai pengguna Internet paling ramai di dunia dan komuniti Internet terbukti semakin berpengaruh dalam menyebarkan berita mengenai sesuatu kejadian, daripada protes pelajar hinggalah kepada jadual rombongan membeli-belah.
Pihak berkuasa melakukan pemantauan semakin ketat ke atas komuniti penentang kerajaan China menjelang hari ulang tahun Tiananmen pada tahun ini, malah beberapa penulis terkemuka sudah pun diletakkan dalam tahanan di rumah sejak berbulan-bulan lalu.
China tidak pernah membenarkan siasatan bebas mengenai tindakan tenteranya menghancurkan protes pada 1989 itu, kemungkinan dengan menyebabkan ribuan pelajar, aktivis dan rakyat biasa terbunuh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan