KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) -- Pihak pentadbiran universiti dan kolej diminta mencari pendekatan serta kaedah terbaik dalam menangani pelbagai masalah yang dihadapi oleh para mahasiswa dalam meneruskan pengajian mereka di universiti dan kolej berkenaan.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah maklum balas yang beliau terima daripada para mahasiswa sepanjang program 3O hari pertama misi "Menyelami Minda Muda (3M)" sejak dilantik ke jawatan timbalan menteri bulan lepas mendapati, kebanyakan masalah yang dikemukakan itu ada hubung kait dengan pentadbiran universiti.
"Sepanjang pertemuan saya dengan mahasiswa, masalah paling kerap yang disuarakan adalah soal kebajikan iaitu mengenai harga makanan yang terlalu tinggi di kampus, kemudahan pengangkutan, serta tidak cukup biasiswa," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan kumpulan mahasisiwa Universiti Teknologi Malaysia, Kampus Antarabangsa di sini, Ahad.
Beliau berkata sememangnya dasar kementerian untuk memberi ruang kepada pihak universiti untuk menyelesaikan perkara dalaman bagaimanapun pihak kerajaan tetap akan membantu dalam menyediakan kemudahan.
"Menerusi program ini saya mendengar pelbagai keluh kesah yang dihadapi mahasiawa dan sekiranya permasalahan itu memerlukan tindakan kerajaan, kami akan berusaha membantu menyelesaikannya," katanya.
Saifudin berkata dalam pertemuan itu juga pelbagai idea dikemukakan oleh pelajar bagi mengalakkan mereka meningkatkan prestasi termasuk pemotongan kadar pembayaran balik pinjaman PTPTN kepada pelajar yang mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan.
"Ini satu cadangan yang baik dan boleh dipertimbangkan," katanya.
Saifuddin berkata sepanjang program 3M itu, beliau mengadakan dialog terbuka dengan lebih 3,000 mahasiswa dari lapan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), tiga Politeknik serta dua Kolej Komuniti.
Menerusi program itu, katanya mahasiswa menyuarakan kebimbangan mereka tentang isu graduan menganggur, kebajikan mahasiswa, politik kampus, senario politik negara dan isu pembiayaan pendidikan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan