SANDAKAN, 23 Mei 2009: Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin merayu lebih banyak syarikat perladangan di daerah ini memberi sumbangan kepada pelajar miskin bagi membantu meningkatkan pembelajaran mereka.
Ini kerana, syarikat yang memberi sumbangan berkenaan masih rendah, berbanding jumlah syarikat dalam sektor perladangan, terutama penanaman kelapa sawit yang mengaut keuntungan besar.
Beliau berkata, sebahagian besar daripada daerah Kinabatangan sudah dimajukan dengan sektor perladangan, terutama kelapa sawit dan syarikat berkenaan memperoleh keuntungan membanggakan.
"Bagaimanapun, kebanyakan syarikat itu kurang memberi sumbangan bagi memajukan pendidikan. Pendidikan amat penting bagi membolehkan pelajar memperoleh jawatan tinggi selepas tamat pengajian, sekali gus meningkatkan taraf hidup keluarga.
"Saya merayu lebih syarikat memberi sumbangan dalam bentuk biasiswa atau tajaan bagi membantu memajukan pelajaran pelajar di pedalaman," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis makan malam memperkasa pendidikan, di sebuah hotel, di sini malam kelmarin. Hadir sama, Pengerusi Biro Pendidikan Umno Bahagian Kinabatangan, Zefree Shahirin.
Pada majlis itu, Bung menerima cek RM72,000 sumbangan 24 syarikat perladangan dan usahawan di daerah Kinabatangan untuk diagihkan kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.
Antara syarikat itu ialah Saham and Sons, Asiatik Sdn Bhd, Boustead Estate Sdn Bhd, Batu Putih Mill, Ladang Hap Seng, Pemborong YS Bersatu, Lamba Jaya, Permata Jaya, Syarikat Berkat Usaha dan Dinar Harapan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan