Isnin, Mei 18, 2009

BN TIDAK BERTANDING DI PENANTI, KATA NAJIB

Najib Razak KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) hari ini memutuskan untuk tidak meletakkan calon pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Penanti, di Pulau Pinang.

Perdana Menteri dan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak, yang mengumumkan keputusan itu selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN selama lebih dua jam di Menara Datuk Onn di sini, berkata perkara itu dibincangkan dengan "panjang lebar" dan semua parti komponen BN menyetujui keputusan tersebut.

"Dewan Tertinggi (BN) mengambil keputusan oleh kerana kekosongan ini bukan disebabkan oleh peruntukan di dalam perlembagaan yakni kekosongan disebabkan kerana Parti Keadilan (Rakyat) hendak menyelesaikan masalah dalaman mereka.

"Oleh kerana ini juga satu permainan politik pembangkang dan tidak ada kena mengena dengan peruntukan perlembagaan dan oleh kerana BN lebih mengutamakan khidmat kepada rakyat dan usaha untuk memulihkan ekonomi negara, maka kita memutuskan supaya tidak meletakkan calon untuk bertanding pada pilihan raya kecil di Penanti," katanya.

Pada 27 April, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi pilihan raya kecil kerusi DUN N.12 Penanti, Pulau Pinang pada 23 Mei ini, dan jika ada pertandingan hari mengundi ialah pada 31 Mei.

Kerusi DUN itu kosong berikutan peletakan jawatan wakil rakyatnya Mohammad Fairus Khairuddin melalui surat bertarikh 19 Mac 2009.

Mohammad Fairus, 33, daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan peletakan jawatannya pada 16 April lepas dengan alasan untuk melanjutkan pelajaran, selain membersihkan namanya daripada segala tohmahan rasuah.

Beliau sebelum itu turut meletak jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang berikutan dakwaan terlibat dengan rasuah.

Akhir bulan lepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagaimanapun menjelaskan suruhanjaya itu tidak ada asas untuk mendakwa beliau.

Pada pilihan raya umum tahun lepas, Mohammad Fairus memenangi kerusi DUN Penanti dengan meraih 7,346 undi, menewaskan calon BN Datuk Abdul Jalil Abdul Majid dengan majoriti 2,219 undi.

-

image image

   Mahatma Gandhi                       Winston Churchill

Tiada ulasan:

Catat Ulasan