Khamis, April 23, 2009

TAPISAN SPRM WAJIB UNTUK NAIK PANGKAT - JPA

BPR-adminKUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Kerajaan sememangnya mewajibkan perisytiharan harta dan tapisan keutuhan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai antara syarat-syarat kenaikan pangkat bagi penjawat awam, menurut Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Khamis.

Langkah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memperkenalkan syarat mengkehendaki pegawainya dikenakan tapisan SPRM sebelum dipertimbangkan kenaikan pangkat adalah menepati peraturan sedia ada dalam perkhidmatan awam.

logo_jpaKetua Unit Komunikasi Korporat JPA Nik Noraini Nik Ya berkata calon-calon yang dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat juga perlu memenuhi syarat-syarat lain termasuk bebas daripada hukuman tatatertib selain penilaian prestasi.

image"Amalan oleh JPJ itu merupakan pematuhan terhadap Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat dan Penamatan Perkhidmatan) 1993 bagi memastikan keutuhan seseorang penjawat awam, antaranya tidak terlibat dengan amalan rasuah.

"Perenggan 37 (2)(c) menetapkan antara asas kenaikan pangkat adalah sifat-sifat peribadi pegawai termasuk kesesuaiannya dengan jawatan kenaikan pangkat, keutuhan, potensi dan kepimpinan pegawai," katanya dalam satu kenyataan di sini Khamis.

Isnin lepas, JPJ yang dikritik hebat kerana rasuah sejak akhir-akhir ini, menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan SPRM dalam usaha membendung gejala rasuah dan meningkatkan integriti serta profesionalisme di kalangan warga kerjanya.

Nik Noraini berkata Peraturan 10, Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, menetapkan semua penjawat awam (terpakai untuk semua gred jawatan) dikehendaki mengisytiharkan secara bertulis kepada Ketua Jabatan masing-masing segala harta yang dimiliki olehnya atau isteri, suami, anak, atau yang dipegang oleh mana-mana orang bagi pihaknya, isteri atau suami atau anaknya.

"Peraturan ini juga menetapkan pengisytiharan harta diwajibkan apabila dilantik ke dalam perkhidmatan awam, dikehendaki oleh kerajaan, memperoleh harta tambahan dan atau melupuskan harta," katanya.

Beliau berkata penjelasan dan panduan lanjut mengenai pelaksanaan pengisytiharan harta dinyatakan melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan Tiga Tahun 2002 di mana penjawat awam hendaklah membuat pengisytiharan harta setiap lima tahun sekali.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan